Ekonomi Malaysia Berkembang 4.4% Pada Suku Ke-3 2018

SIARAN AKHBAR

Bank Negara Malaysia.

Ekonomi Malaysia (KDNK) berkembang 4.4% pada suku ketiga 2018

Aktiviti sektor swasta kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan disebabkan oleh perkembangan penggunaan swasta yang kukuh berikutan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar. Dari segi penawaran, sektor perkhidmatan dan perkilangan menyokong pertumbuhan, sementara sektor perlombongan terus menerima kesan daripada kejutan pengeluaran.

Sektor pertanian kekal lemah disebabkan pemulihan yang berlanjutan daripada kekangan pengeluaran
dalam suku sebelum ini. Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi negara meningkat 1.6% lebih pantas berbanding dengan pertumbuhan sebanyak 0.3% pada suku sebelumnya. Inflasi keseluruhan menurun kepada 0.5% pada suku ketiga 2018 (S2 2018: 1.3%), mencerminkan terutamanya kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar.

Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (Sales and Services Tax, SST) bermula 1 September 2018 memberikan impak yang sedikit ke atas inflasi pada suku ketiga. Pada masa hadapan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang stabil.

Aktiviti sektor swasta akan terus berperanan sebagai pemacu utama pertumbuhan di tengah-tengah penyusunan semula perbelanjaan sektor.

Bagi tempoh selanjutnya pada tahun 2018 dan menjelang tahun 2019, pemulihan pengeluaran komoditi secara beransur-ansur juga akan memberikan sokongan kepada pertumbuhan.

Inflasi keseluruhan dijangka mencatatkan kadar purata tahunan yang rendah pada tahun 2018, sebahagian besarnya mencerminkan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar sifar dan harga minyak dalam negeri yang stabil.

Pada masa hadapan, inflasi keseluruhan diunjurkan meningkat disebabkan terutamanya oleh harga minyak global yang dijangka lebih tinggi dan pengapungan harga bahan api dalam negeri. Meskipun kesan dasar cukai penggunaan akan menyumbang kepada kenaikan inflasi keseluruhan pada tahun 2019, kesan itu akan luput menjelang akhir tahun tersebut.

 

Bank Negara Malaysia
16 November 2018

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *