Pos Malaysia Rugi RM16.58 Juta, Nilai Pasaran Merosot RM485 Juta

Semalam laporan akhbar the Star menyebut Pos Malaysia kehilangan RM485 juta dari segi nilai pasaran. Ramai yang keliru antara kerugian syarikat dan kemerosotan nilai pasaran.  Sebenarnya Pos Malaysia sebagai sebuah syarikat rugi hanya RM16.58 juta pada suku keduanya berakhir 30 September.

Akibat daripada kerugian ini, pelabur dalam pasaran saham memberikan reaksi negatif menyebabkan harga saham jatuh sebanyak 62 sen.  Oleh kerana modal sahamnya berjumlah 783 juta, maka kerugian dari segi nilai pasaran ialah RM485 juta.

Jika bukan Pos Malaysia yang rugi 485 juta, siapa yang rugi?  Jawapannya ialah para pelabur yang memegang saham Pos Malaysia sebelum pengumuman keputusan dibuat. Kerugian anda bergantung kepada berapa banyak saham yang anda pegang didarabkan dengan 62 sen.

Tetapi kerugian ini masih di atas kertas. Ia hanya menjadi kerugian sebenar yang direalisasi apabila pelabur menjual saham tersebut.  Jika prestasi Pos Malaysia kembali pulih dalam tempoh mendatang, harga saham mungkin kembali pulih.  Semuanya bergantung kepada bagaimana Pos Malaysia menangani kemelut ini.

Prestasi Saham Pos Malaysia dalam tempoh 5 tahun lepas:

Sumber: Laman web Bursa Malaysia

Jika perniagaan Poslaju semakin berkembang pesat seiring peningkatan bisnes dalam talian,  bagaimana Pos Malaysia boleh rugi?  Kerugian dialami akibat segmen surat biasa dan perkhidmatan kaunter yang semakin kurang digunakan.

Sekarang ini semua bil dihantar secara online. Jumlah surat-menyurat berkurangan. Pembaharuan lesen memandu, insurans/takaful kereta dan cukai jalan ramai yang melakukannya online. Walaupun permintaan bagi perkhidmatan tersebut merosot, Pos Malaysia tidak dapat mengurangkan cawangan atas tanggungjawabnya kepada rakyat.

Namun begitu, jika dilihat daripada pengumuman urus niaga pemegang saham besar, KWSP dilihat membeli saham Pos Malaysia selepas pengumuman, sedangkan semasa penurunan saham Telekom Malaysia , KWSP didapati menjual saham Telekom Malaysia.

Adakah KWSP tahu sesuatu yang kita tidak tahu yang menyebabkan ia melihat nilai dalam Pos Malaysia? Kita tunggu dan lihat atau patutkah kita sama-sama ikut langkah KWSP?

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *