Penasihat Kewangan: Pilih Roboadvisor atau Manusia?

Kita tahu bahawa dalam permainan catur, komputer boleh menewaskan juara dunia. Tetapi dalam dunia kewangan, bolehkah komputer juga mengatasi manusia? Perkembangan dalam fintech atau teknologi kewangan telah melahirkan versi penasihat kewangan elektronik baharu yang digelar Roboadvisor.

Apakah Penasihat Robot atau Roboadvisor ini? Ia merupakan platform digital yang menyediakan perkhidmatan perancangan kewangan atau pelaburan secara automatik berasaskan algoritma, dengan pengawasan minimum daripada manusia.

Apabila menggunakan platform ini,  satu tinjau selidik tentang keadaan dan matlamat kewangan pelanggan dibuat. Berasaskan maklumat tersebut, pelanggan akan diberikan nasihat pelaburan atau kewangan.

Jenis peruntukan aset, sama ada agresif, sederhana atau selamat, dibuat bergantung kepada jawapan pelanggan terhadap tinjau selidik tersebut. Selepas itu, portfolio akan diimbangi berasaskan keadaan pasaran. Prestasi dan pulangan yang diterima bergantung semata-mata kepada algoritma yang digunakan.

Menurut pemerhatian saya, banyak Roboadvisors melabur dalam ETF (Dana Dagangan Bursa) yang berkos rendah dalam pelaburan ekuiti mereka.

Apakah manfaat menggunakan Roboadvisor?

1.  Kos rendah

Kos yang dikenakan ialah antara 0.2% hingga 1% daripada aset yang dilaburkan. Ini lebih rendah daripada yuran dana unit amanah dan juga yuran pengurus dana.

2.  Nilai pelaburan awal yang rendah

Lazimnya seorang wealth manager hanya akan menerima pembukaan akaun dalam jumlah besar. Pengguna khidmat roboadvisor boleh membuka akaun serendah $100.  Ini bermakna perkhidmatan ini boleh digunakan oleh hampir semua orang.

3.  Tiada emosi dalam keputusan

Apabila semua keputusan dibuat oleh algoritma atau ‘robot’, kita tidak dipengaruhi oleh emosi semasa saham jatuh atau apabila pasaran tengah hangat

Apakah kelemahan Roboadvisor?

1.  Bergantung semata-mata kepada perisian

Pada pendapat saya ada keadaan tertentu dalam pengurusan kewangan seseorang di mana budi bicara manusia masih diperlukan.  Jika berminat, peruntukkan hanya sebahagian daripada dana untuk diuruskan dengan cara ini dahulu untuk melihat potensinya.

2. Belum teruji dalam keadaan luar biasa

Kita perlu lihat prestasinya dalam jangka panjang selepas melalui pelbagai keadaan pasaran sebelum boleh mendapat jaminan bahawa ‘sistem’atau algoritma yang digunakan adalah berkesan.

3. Tidak dapat memberi nasihat secara khusus.

Masih banyak perkara yang tidak disentuh, contohnya faktor emosi dalam usaha mengurangkan perbelanjaan dan menambah lebihan, isu mengurangkan hutang, perancangan harta pusaka dan sebagainya.

Sudahkah Roboadvisor tiba di Malaysia? Ya, perkhidmatan pertama yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti ialah Stashaway di www.stashaway.my.  Tetapi pelaburannya tidak patuh syariah.

Setakat ini di peringkat global pula ada satu Roboadvisor yang patuh Syariah, dan ini akan saya bincangkan dalam artikel pada masa depan.

Kesimpulannya, patutkah kita pilih robot atau manusia untuk menguruskan kewangan kita? Saya masih cenderung kepada manusia, tetapi mungkin buat permulaan boleh peruntukkan sedikit dana untuk menguji keberkesanannya.

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *