Meninjau Prestasi Suku Ketiga Telekom Malaysia

Dua hari lepas Telekom Malaysia (TM) telah mengumumkan kerugian suku tahunan berjumlah 175.59 juta, pertama kali kerugian dialami dalam tempoh 10 tahun. Ditambah dengan sentimen negatif semasa, nampak seperti prestasi (TM) membimbangkan.

Tetapi selepas kajian lanjut, kita akan mendapati kerugian ini disebabkan oleh langkah mengurangkan nilai aset rangkaian berjumlah 934,8 juta dalam akaunnya.  Kerugian ini memang kerugian sebenar tetapi bukan kerugian daripada operasi.

Kesannya bagi keputusan kewangan suku tahunan ialah kerugian sesaham sebanyak 4.7 sen bagi suku tahun yang dilaporkan. Nilai aset bersih sesaham merosot daripada RM2.09 kepada RM1.99.

 

Namun begitu, sekiranya penyusutan nilai aset dan item bukan operasi lain tidak diambil kira, TM mencatatkan untung sebelum cukai  RM315.6 juta, lebih tinggi daripada RM226,4 pada suku kedua.

Jenis dan ciri aset rangkaian yang disusut nilai dalam akaun belum diterangkan dengan teliti. Tetapi nampak seperti pihak pengurusan telah melakukan kitchen sinking exercise.

Kitchen sinking exercise bermakna sesebuah syarikat membuat keputusan untuk mengumumkan semua berita buruk secara sekaligus dengan harapan untuk membuka lembaran baru dalam tempoh yang mendatang.

Bagaimanapun menurut TM sebab sebenar penyusutan nilai aset tersebut ialah untuk memberikan gambaran yang lebih tepat terhadap nilai aset yang terjejas akibat penetapan harga pukal yang amat rendah dan juga penurunan harga bagi pelanggan runcit yang disarankan oleh kerajaan.

Satu lagi pengumuman yang kurang positif ialah keputusan TM untuk mengurangkan kadar pembayaran dividen yang diberikan kepada 40 – 60% daripada untung bersih berbanding hampir 90% sekarang.

Harga saham Telekom Malaysia telah jatuh mendadak daripada kira-kira RM7.50 kepada RM2.30 dalam tempoh setahun lepas kerana pelbagai faktor termasuk langkah kerajaan mengurangkan harga jalur lebar untuk pengguna.

Adakah semua berita negatif telah selesai bagi TM?

Belum lagi, ada beberapa faktor yang masih mengekang harga sahamnya, iaitu jualan saham oleh KWSP dan juga kemungkinan dikeluarkan daripada menjadi komponen indeks utama FBM KLCI.

Satu lagi ialah prestasi suku keempat di mana peralihan kepada harga baru broadband untuk pengguna sedang dilaksanakan. Selepas itu saya rasa TM boleh mula menstabilkan operasi dan kembali cuba untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan.

Saya rasa saham ini menarik untuk dimasukkan dalam watchlist sambil menunggu  semua sentimen negatif telah dizahirkan.

Sumber Data dan Gambar: Bursa Malaysia

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *