BIMB Catat Prestasi Kukuh Dalam Lautan Merah

BIMB Holdings Berhad telah mengumumkan keputusan suku ketiga yang lebih baik apabila meraih untung  berjumlah 198.62 juta, iaitu  8.3% lebih tinggi berbanding tahun lepas.  Kumpulan mencatatkan pendapatan sesaham (EPS) 11.3 sen pada suku ketiga dan juga 30.84 sen sesaham untuk 9 bulan berakhir 30 September 2018.

Prestasi positif ini dicatatkan di tengah-tengah lautan merah Bursa Malaysia akibat keputusan korporat yang kurang memuaskan pada musim laporan kali ini dan juga kerana faktor negatif di peringkat antarabangsa yang membelenggu pasaran.

Syarikat juga mengumumkan dividen sebanyak 15.5 sen sesaham, yang akan dibayar pada bulan Januari, Berikut adalah jadual keputusan suku ketiga BIMB.

Sumber: Bursa Malaysia

Seperti saham-saham lain, harga saham BIMB terjejas baru-baru ini seiring kejatuhan Bursa Malaysia, tetapi keputusannya kewangannya tetap konsisten. Berikut adalah pergerakan harga saham BIMB untuk tempoh 5 tahun lepas.

Sumber: Bursa Malaysia

Prestasi lebih baik ini disumbangkan oleh dua anak syarikat utamanya, Bank Islam dan juga Syarikat Takaful Malaysia yang mencatatkan tahap keuntungan lebih tinggi.

Beberapa firma penyelidikan memberikan analisis positif terhadap saham ini dengan membuat buy call. Harga sasaran yang ditetapkan oleh Kenangan IB – RM4.95, MIDF Research – RM4.85 dan AMimvest – RM5.40.

Sekiranya pasaran tidak dikekang oleh faktor dalaman dan luaran, kemungkinan besar BIMB akan berada pada paras lebih tinggi berbanding harga semasanya.

Namun begitu, keadaan perniagaan agak mencabar untuk tempoh terdekat, justeru prestasi untuk suku keempat dan awal tahun 2019 mungkin dipengaruhi keadaan ekonomi.

Bagaimanapun jika anda melabur untuk jangka panjang, BIMB Holdings merupakan saham yang berpotensi berasaskan prestasi dan pengurusan yang kukuh.

Sebagai salah satu daripada hanya segelintir aset kewangan patuh syariah yang dipegang oleh dana-dana berlandaskan syariah, saya meramalkan saham BIMB akan mendapat permintaan lebih tinggi apabila keadaan dan sentimen pasaran mula pulih.

Walaupun harga telah naik kepada RM3.81 selepas pengumuman keputusan lebih baik ini, BIMB masih diperdagangkan pada nisbah harga pendapatan (PE Ratio) di bawah 10.

Kesimpulannya, Bank Islam telah mencatatkan prestasi yang memberangsangkan dalam suasana ekonomi semasa membolehkan harga sahamnya dipertahankan walaupun banyak saham lain sedang jatuh.

Nota: Bank Islam telah membayar zakat daripada keuntungannya.

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *