Merungkai Punca Kerugian Besar FGV Pada Suku 3 2018

Felda Global Ventures telah mencatatkan kerugian besar berjumlah RM849.3 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2018. Kerugian ini boleh dibahagikan kepada dua, iaitu kerugian akibat penyusutan nilai pelaburan berjumlah RM788 juta dan bakinya ialah kerugian operasi.

Pendapatan sesaham (EPS) Felda Gobal Ventures (FGV) ialah sebanyak -23.30 sen bagi suku tahun ini. Kerugian tersebut telah menyebabkan nilai aset bersih FGV merosot daripada RM1.54 kepada RM1.30. Keputusan suku tahunan FGV dipaparkan di bawah:

Sumber: Laman Web Bursa Malaysia

Telekom Malaysia (TM) juga mencatatkan kerugian akibat penurunan nilai aset pada suku ketiga (baca sini), tetapi ada perbezaan besar antara kedua-duanya.  TM mencatatkan untung operasi sedangkan FGV mengalami kerugian operasi.  Manakala aset TM yang disusut nilai adalah aset rangkaian sedangkan bagi FGV, yang disusut nilai ialah pelaburan yang dibuat dalam beberapa syarikat lain dan juga kondominium.

Jadi apakah pelaburan yang terpaksa disusut nilai?

Penyusutan nilai paling besar dicatatkan dalam Asian Plantation Limited, iaitu sebanyak RM513 juta.  Seterusnya ialah FGV Green Energy dengan kemerosotan RM102 juta,  FGV Cambridge Nanosystems berjumlah RM53 juta dan pebelian kondominium Troika sebanyak RM1.22 juta.

Mengapa pelaburan tersebut perlu dikurangkan nilainya?

Keadaan ini boleh timbul kerana dua sebab. Pertama ialah Felda Global Ventures telah membeli syarikat atau aset tersebut pada harga yang jauh lebih tinggi daripada nilai sebenar menyebabkan ia perlu dinilai semula dan kerugian diiktiraf.

Kedua ialah syarikat yang dibeli mencatatkan kerugian atau tidak menjana untung seperti yang dijangka menyebabkan nilai syarikat tersebut turun, dan penurunan nilai ini perlu diiktiraf di dalam akaun.

Semua perolehan tersebut berlaku di bawah naungan pihak pengurusan terdahulu. Susulan daripada kerugian Asian Plantation Limited, FGV telah menyaman mantan Pengarah, Pengurusan, Pengerusi dan Ketua Eksekutif FGV untuk jumlah kerugian yang dialami.

Dengan pengiktirafan kerugian ini, FGV berhasrat membuka lembaran baru dalam operasinya. Namun begitu mereka menghadapi cabaran besar akibat harga minyak sawit mentah (CPO) yang rendah dan juga profil pokok kelapa sawit yang agak tua dan perlu ditanam semula.

Harga saham FGV telah terjejas teruk akibat pengiktirafan kerugian ini, dan telah mengalami freefall atau kejatuhan berterusan sejak tawaran awam awal (IPO) dulu yang dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang.

 Sumber: Laman web Bursa Malaysia

Kesimpulannya ialah FGV telah memusnahkan nilai pemegang saham (dalam bentuk kejatuhan nilai pasaran) dan juga nilai sebenar (nilai aset bersih) sejak disenaraikan. Diharapkan pada masa depan, FGV akan dapat kembali mencipta nilai, dan seterusnya meningkatkan nilai pasaran, tetapi tiada jaminan mereka mampu melakukannya.

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *