TNB Cabar TM Dengan Kemudahan Internet Jalur Lebar Menerusi Saluran Elektrik?

Dua hari lepas, Pos Malaysia memaklumkan menerusi Twitter bahawa Pejabat Pos Jasin telah menerima perkhidmatan Internet Jalur Lebar perintis daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kelajuan muat turun lebih 935Mbps dan kelajuan muat naik 769Mbps.

Dalam laporan akhbar di The Star, TNB dikatakan membekalkan perkhidmatan tersebut sebagai sebahagian daripada projek khidmat jalur lebar kepada 1,100 rumah di Taman Merbau, Taman Maju dan Felda Kemendor, menerusi Pelan Ketersambungan Kebangsaan (National Connectivity Plan).

Perkara yang menarik tentang Tweet tersebut ialah TNB membekalkan perkhidmatan jalur lebar ini menggunakan infrastruktur yang sedia ada.  Menurut TNB ia mempunyai rangkaian gentian optik meliputi 12,000km di seluruh negara dengan akses kepada 8 juta pelanggan.

Ini bermakna TNB boleh memasuki arena jalur lebar dengan pantas, menggunakan infrastrukturnya yang sedia ada, tanpa perlu membuat pelaburan yang terlalu besar.

Adakah penglibatan TNB akan mengugat kedudukan Telekom Malaysia dan peserta lain?

Ia bergantung kepada sejauh mana Kerajaan akan membenarkan TNB menceburi perniagaan jalur lebar dan menggugat syarikat-syarikat utama dalam bidang ini.

Adakah TNB akan dibenarkan terlibat dalam perniagaan wholesale sahaja? Atau adakah ia akan hanya dibenarkan berkhidmat kepada pelanggan yang belum menerima kemudahan jalur lebar kerana lokasi mereka?

Dalam kedua-dua senario di atas persaingan tidaklah begitu sengit tetapi jika TNB dibenarkan untuk beroperasi di mana-mana sahaja untuk pelanggan runcit, barulah kita mungkin melihat perubahan ketara.

Lazimnya apabila analyst membuat penilaian sesuatu syarikat menggunakan discounted cashflow valuation atau nilai kini aliran tunai masa depan, salah satu andaian ialah kadar pertumbuhan atau growth rate. Lebih rendah growth rate lebih rendah nilai syarikat.

Jika benar bahawa TNB akan menceburi bidang jalur lebar, ini sedikit sebanyak akan mempengaruhi kadar pertumbuhan Telekom Malaysia kerana TNB ialah syarikat blue chip gergasi yang sudah mempunyai infrastruktur yang diperlukan.

Nota: Saya mula menyedari potensi jalur lebar melalui saluran elektrik beberapa tahun lepas, apabila menggunakan alat bernama Homeplug untuk menyalurkan jalur lebar dari router saya di tingkat atas ke dekoder TM saya di tingkat bawah melalui saluran elektrik di dalam rumah. Tidak perlu menarik dan memasang dawai broadband yang menjalar sehingga ke tingkat bawah.

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *