Kripto Bukan Legal Tender atau Wang Sah Tetapi Tidak Bermakna Tak Sah Digunakan

Dalam satu laporan akhbar di The Star beberapa hari lepas, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menekankan sekali lagi bahawa mata wang kripto bukan legal tender atau mata wang sah.  Apakah maksud legal tender?

Menurut Investopedia legal tender ialah kaedah pembayaran rasmi yang wajib diterima untuk membayar hutang atau sebarang kewajipan kewangan. Wang sah di setiap negara ialah mata wang kebangsaan masing-masing.

Maksudnya ialah seseorang pemiutang atau pemberi pinjaman wajib menerima dan tidak boleh menolak sebarang pembayaran yang dibuat dalam mata wang sah.

Apabila BNM berkata bahawa matawang kripto, termasuk Bitcoin, bukan mata wang sah, ini bermakna sekiranya anda menggunakan Bitcoin untuk membayar hutang atau membeli sesuatu barang, pihak pemiutang atau penjual berhak untuk tidak menerimanya.

Tetapi ini tidak bermaksud bahawa mereka tidak boleh atau haram bagi mereka di bawah undang-undang untuk menerima mata wang kripto.  Jika penjual menerima Bitcoin atau mata wang kripto lain, tiada masalah dengan transaksi tersebut.

Sebab itulah nilai Bitcoin, selain daripada pergerakan harga daripada spekulasi, amat bergantung kepada kesanggupan peniaga dan orang ramai menggunakannya.  Jika lebih banyak pihak menerimanya, maka lebih berguna dan lebih berharga fungsinya sebagai ‘mata wang’.

Menyedari bahawa mata wang kripto dan teknologi kripto mungkin permulaan baru pada masa depan, daripada mengharamkannya sama sekali BNM telah membuat keputusan untuk mengawal selia mata wang kripto dan juga tawaran syiling awal (ICO – seperti Harapan Coin yang dicadangkan tempoh hari).

Pihak BNM telah memberi amaran kepada pengeluar ICO dan pasaran aset digital yang mengeluarkan atau mengendalikan aset digital dengan fungsi bayaran perlu mematuhi undang-undang dan peraturan Bank Negara Malaysia berkaitan pembayaran dan hal-ehwal mata wang.

Perlu diingat ialah mata wang kripto pada asasnya ialah wang. Wang ialah bahan perantara untuk jual beli, bukan satu bentuk pelaburan yang memberikan pulangan intrinsik. Bermakna jika nilainya naik sekalipun, ia semata-mata berasaskan permintaan dan bekalan, bukan kerana sebarang nilai yang dicipta.

———–

Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *