Top Glove, AMMB Holdings Ganti TM, KLCC Stapled dalam FBM KLCI; SC Umum Senarai Saham Patuh Syariah Terbaharu

Dalam semakan terbaharu oleh pengeluar indeks FTSE Russell dan Bursa Malaysia, dua saham iaitu Top Glove dan AMMB Holdings akan menggantikan TM dan KLCC Stapled dalam Indeks FBM KLCI, yang merangkumi 30 saham bermodal paling besar di pasaran.

Manakala dalam senarai terbaharu Saham Patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti (SC), beberapa saham yang mendapat perhatian ramai seperti Hengyuan Refinery, SEG International dan Formosa Prosonic merupakan antara 33 saham yang dimasukkan dalam senarai.

Sementara itu, saham seperti Caring Pharmacy, Country Heights, DKSH Holdings dan Hong Leong Industries pula termasuk dalam kalangan 34 saham yang telah diklasifikasikan sebagai tidak patuh syariah.  Senarai penuh saham yang dimasukkan dan dikeluarkan daripada senarai saham patuh syariah boleh dibaca di hujung artikel.

Apakah kesannya terkeluar dari Indeks FBM KLCI?

Kesannya tidak begitu besar dan sementara sahaja. Indeks ini dijejak oleh beberapa ETF atau Dana Indeks, yang terpaksa menjual saham yang dikeluarkan daripada senarai dan membeli saham yang dimasukkan dalam indeks.

Selain itu, mungkin ada beberapa dana yang mahu menanda aras prestasi mereka dengan indeks juga melakukan perkara yang sama.

Tetapi selepas proses ini selesai, mungkin tiada lagi kesan terhadap saham tersebut. Bagi TM umpamanya, kebanyakan dana yang ingin menjual saham ini mungkin sudah menjualnya sebelum ini, jadi tiada kesan apabila berita ini diumumkan.

Bagaimana pula kesan terkeluar dari senarai saham patuh Syariah SC?

Kesannya ialah semua dana yang melabur berlandaskan Syariah, termasuklah bahagian pelaburan patuh syariah KWSP, TH dan lain-lain perlu menjual saham tersebut dalam tempoh tertentu, dan tidak boleh membelinya sehinggalah ia kembali patuh syariah.

Bagi saham yang banyak dipegang oleh institusi patuh syariah, ini mungkin menjejaskan harga sahamnya dengan ketara. Kesan yang mungkin dialami ialah satu insentif besar bagi syarikat-syarikat untuk memastikan sahamnya patuh Syariah, terutamanya saham yang dipegang oleh institusi.

Satu daripada saham tersebut, DKSH, telah jatuh harganya sejak beberapa hari selepas pengumuman ini.

Senarai saham patuh Syariah Suruhanjaya Sekuriti dikemaskini pada setiap hujung bulan Mei dan November. Klik sini untuk merujuk siaran penuh Suruhanjaya Sekuriti.

Di bawah ialah saham-saham yang dimasukkan dan dikeluarkan daripada senarai saham patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti (sumber laman web Suruhanjaya Sekuriti):

Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah meluluskan senarai kemas kini sekuriti yang diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah. Senarai sekuriti patuh Syariah, iaitu yang tersenarai di Bursa Malaysia, berkuat kuasa mulai 30 November 2018.

Sebanyak 33 sekuriti yang baru diklasifikasikan oleh MPS sebagai sekuriti patuh Syariah telah dimasukkan dalam senarai tersebut manakala 34 sekuriti yang berada dalam senarai sebelum ini telah dikeluarkan (Lampiran I). Senarai
lengkap 689 sekuriti patuh Syariah serta pecahan mengikut sektor adalah seperti di Lampiran II.

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *