Langkah Yang Diambil Tabung Haji Untuk Pulihkan Akaun Dan Bayar Hibah Bagi 2018

Susulan daripada artikel saya semalam mengenai rizab negatif RM4.1 bilion dalam akaun rasmi Tabung Haji, hari ini kita lihat bagaimana Tabung Haji bercadang untuk memulihkan akaun dan membayar hibah untuk tahun kewangan 2018.

Masalah utama yang dihadapi ialah rizab negatif atau liabiliti melebihi aset yang menyebabkan Tabung Haji (TH) tidak dapat membayar hibah mengikut Akta Tabung Haji 1995.

Untuk menampung rizab negatif ini, satu SPV (Entiti Tujuan Khas) ditubuhkan untuk mengambil alih aset-aset TH yang underperforming atau telah merosot nilainya, termasuk hartanah dan saham.

SPV ini akan menerbitkan Sukuk bernilai RM10 bilion dan i-RCPS (Saham Keutamaan Boleh Tukar dan Boleh Tebus) bernilai RM9.9 bilion untuk mengambil alih aset-aset tersebut.

Sumber: Infografik Bernama

Kunci kepada penyelesaian ialah aset-aset tersebut akan diambil alih pada nilai buku, iaitu nilai aset tersebut sebelum mengambil kira kemerosotan nilai yang merupakan punca berlaku rizab negatif ini.

Maka di dalam akaun TH, aset-aset yang underperforming ini akan digantikan dengan aset dalam bentuk Sukuk dan i-RCPS, berjumlah RM19.9 bilion. Nilai semasa aset-aset underperforming yang dipindahkan kepada SPV lebih rendah daripada itu.

Kesannya ialah nilai aset TH akan kembali bersamaan dengan liabiliti dalam lembaran imbangan (balance sheet) dan ini akan membolehkan TH kembali membayar hibah di bawah Akta. Keupayaan TH menjana untung tidak menjadi masalah berasaskan akaun rasmi yang diaudit.

Bagaimana dengan SPV ini? Ia telah membayar nilai buku tetapi menerima aset-aset yang nilainya lebih rendah selepas mengambil kira kemerosotan nilai aset. SPV ini akan cuba memulihkan aset-aset tersebut dalam tempoh 7 tahun. Tempoh ini cukup lama untuk menyusun semula atau membangunkan aset-aset yang diambil alih.

Sekiranya nilai pulih, SPV ini tidak rugi dan tidak ada kesan kepada sesiapa. Masalah hanya timbul jika selepas tujuh tahun nilai tidak pulih, maka dalam keadaan tersebut, tidak jelas sama ada kerugian akan ditanggung oleh SPV (bermaksud Kerajaan) atau Tabung Haji.

Mengapa TH sendiri tidak boleh memulihkan aset? Boleh, tetapi jika aset-aset ini dibiarkan dalam akaun TH, rizab negatif (keadaan di mana liabiliti melebih aset) mungkin berkekalan untuk tempoh satu tahun atau lebih. Ini bermaksud di bawah Akta tiada hibah boleh dibayar.

Langkah penyusunan semula ini akan membersihkan Lembaran Imbangan TH dan membolehkannya membayar hibah untuk tahun 2018, dengan syarat TH turut mencatatkan untung.

Nota: Artikel ini ditulis berasaskan maklumat yang boleh didapati secara umum. Seperti biasa mungkin ada kesilapan dan jika ada sila maklumkan.  Butiran lanjut tentang rancangan penyusunan semula ada dalam infografik di atas, dan mungkin ada detail yang lebih terperinci. Di sini cuba saya berikan maklumat yang relevan dan mudah difahami pembaca sahaja.


Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *