Merancang Harta Pusaka Menerusi Hibah

Hibah. Perkataan ini memang menjadi bahan perbualan masyarakat kita sekarang. Rata-rata orang yang saya temui, sama ada melalui taklimat atau temu janji perseorangan, semuanya pernah dengar tentang hibah.

Ramai yang berpendapat bahawa langkah menghibahkan terus harta, sama ada rumah atau segala aset lain, kepada penerima semasa masih hidup akan menyenangkan urusan harta pusaka mereka apabila mereka meninggal dunia.

Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira jika ingin membuat hibah terus kepada penerima. Antaranya, kos duti setem semasa pindah milik berlaku. Pertukaran nama melalui Borang 14A perlu dibayar kos duti setem sehingga 4% mengikut nilai semasa bagi aset hartanah.

Apabila sudah pindah milik kepada penerima, contohnya anak-anak, maka mereka berhak sepenuhnya ke atas harta tersebut. Terpulang kepada mereka sama ada hendak menjual aset tersebut atau memindah milik kepada orang lain sesuka hati mereka.

Bagaimanapun, masyarakat kita mungkin pelik sedikit. Mereka nak pindah milik semua harta, tapi masih mahukan kuasa terhadap harta tersebut. Sampaikan rumah yang diduduki pun nak pindah milik.

Sebab itu, banyak kes sekarang bergaduh seisi keluarga walaupun si pemilik asal harta, iaitu ayah dan ibu masih hidup. Ada juga digelar si Tanggang kerana sanggup menghalau ayah sendiri dari rumah selepas pindah milik harta berlaku.

Prihatin terhadap isu ini, As-salihin Trustee Bhd (AST), memperkenalkan instrumen Pri-Hibah. Pertukaran nama melalui borang 14A dilakukan selepas berlaku kematian kepada pemberi hibah. AST diberi kuasa power of attorney untuk memindah milik harta tersebut, contohnya, rumah atau tanah kepada penerima.

Manfaat dokumen ini ialah ia bersifat revokable iaitu boleh ditarik balik bila-bila masa oleh si pemberi (ayah/ibu) terhadap penerima hibah, iaitu si anak.

Namun, kos duti setem masih tertakluk kepada maksimum 4% daripada nilai harta yang nak dipindah milik. Sebab itu, penerima hibah perlu ada tunai atau dana secukupnya untuk menampung kos tersebut.

Kita masih mempunyai pilihan lain jika tak mahu menyusahkan waris penerima hibah. Ambil pelan takaful yang bertujuan membayar segala kos pentadbiran harta dengan meletakkan penerima hibah tersebut sebagai penama.

Pilihan lain adalah memasukkan hasrat pindah milik tersebut dalam wasiat. Kos pindah milik menerusi urusan pusaka adalah lebih murah. Tetapi,hasrat pembahagian tersebut masih tertakluk atas persetujuan semua waris faraid.

Jika waris tidak setuju dengan hasrat tersebut,maka hanya maksimum 1/3 bahagian harta boleh diberi mengikut hasrat pewasiat. Justeru hibah masih merupakan pilihan paling sesuai bagi sesetengah orang.

Memandangkan pelbagai kerumitan yang mungkin timbul, rancanglah pengagihan harta pusaka ketika masih hidup supaya tidak menyukarkan waris apabila anda sudah tiada.

Siti Zainab Abd Raof
IFP

Author: Siti Zainab Abd Raof

Siti Zainab Abd Raof ialah seorang perunding takaful bersama Great Eastern Takaful, perancang harta pusaka bersama As-salihin Trustee Bhd dan perunding unit amanah & PRS bersama Manulife Asset Management Services. Kelayakan: Islamic Financial Planner.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *