Risiko Melabur Saham Dengan Hutang

Baru-baru ini dua tokoh besar dalam dunia korporat telah mengalami kerugian besar kerana terpaksa menjual saham masing-masing (forced selling) akibat kejatuhan ketara harga saham.

Koon Yew Yin, yang merupakan pengasas bersama IJM Corporation, telah mengalami kerugian besar apabila terpaksa menjual sahamnya dalam Jaks Resources akibat kejatuhan harga saham tersebut. Sementara itu, Dr Abu Hassan Ismail, CEO Prestariang juga terpaksa menjual sahamnya dalam Prestariang kerana margin call.

Saya meramalkan bahawa dalam keadaan pasaran semasa, bukan mereka sahaja yang mengalami situasi ini, tetapi ada pelabur besar dan kecil lain yang melabur dengan margin (pembiayaan) terpaksa melupuskan sebahagian atau seluruh pegangan mereka.

Mengapa mereka terpaksa menjual? Sebab pembelian saham tersebut dibuat menggunakan margin atau pembiayaan. Apabila membeli dengan cara begini, saham digunakan sebagai cagaran.  Nilai cagaran dan kadar margin yang diberikan bergantung kepada harga saham.

Apabila harga saham jatuh nilai cagaran juga merosot, menyebabkan tahap pembiayaan yang boleh diberikan juga berkurangan. Kesannya ialah untuk mengekalkan pegangan saham yang sama, pelabur mempunyai pilihan untuk menjual sebahagian saham mereka sehingga kekurangan margin dapat diatasi atau menampung kekurangan tersebut dengan wang tunai.

Jika saham terus jatuh, bermakna lebih banyak saham yang perlu dijual. Kita tinjau pergerakan saham Jaks Resources dan Prestariang sebagai contoh.

 Jaks Resources. Sumber: Bursa Malaysia

Kita dapat lihat bahawa saham Jaks telah jatuh tiga kali ganda berbanding paras tertinggi sekitar RM1.80 pada awal tahun ini. Ternyata proses jualan paksa juga telah mewujudkan vicious cycle yang menyebabkan kejatuhan ketara.

Prestariang. Sumber: Bursa Malaysia

Prestariang juga mengalami nasib yang sama cuma kejatuhannya sudah berlaku sejak tahun 2016 . Mungkin jualan paksa menyebabkan pusingan kerugian terkini yang dialami baru-baru ini.

Persoalannya ialah bagi pelabur yang suka bottom fishing, adakah wujud peluang dalam saham-saham sebegini? Ia bergantung kepada keadaan tetapi risiko besar wujud. Sebagai contoh jika anda rasa saham sudah banyak jatuh bulan lepas dan membeli, anda akan terus mengalami kerugian.

Ada sebab tertentu mengapa saham tersebut jatuh, kemungkinan besar disebabkan unjuran prestasi masa depan syarikat mungkin sudah tidak sebaik yang dijangkakan sebelum ini.

Kesimpulannya ialah:

  1. Berwaspada apabila membeli saham berasaskan margin atau pembiayaan. Malah kebanyakan pelabur biasa tidak patut menggunakan margin.
  2. Berhati-hati apabila membeli saham yang sedang jatuh, ia mungkin jatuh lagi.

Nota: Selain daripada itu, apabila menggunakan margin, pelabur juga perlu menanggung kos pembiayaan.

________________

Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *