Bear Market, Pasaran Menjunam dan Kesukaran Menjana Pulangan

Sedang ramai orang sibuk berbahas tentang pulangan ASB, ASB Financing dan dunia kecil kita, ada baiknya kita cuba melihat keadaan pasaran dan ekonomi AS dan global untuk memahami mengapa pulangan bagi kebanyakan instrumen pelaburan dan tabungan adalah negatif atau rendah.

Pertama sekali kita perlu sedar bahawa pasaran AS dan global sedang menjunam. Apabila berlaku kejatuhan pasaran, istilah yang sering kita dengar ialah bear market.  Walaupun terdapat pelbagai definisi bear market, rata-rata ia bermaksud pasaran yang mengalami kitaran kejatuhan.

Secara lebih khusus lagi, menurut Investopedia, bear market ialah pasaran yang menjunam 20% atau lebih dalam tempoh 2 bulan. Jika penurunan hanya 10% dalam masa dua bulan, istilah yang digunakan ialah correction.

Tetapi definisi lebih umum, bear market ialah pasaran yang sedang menjunam 20% atau lebih daripada para tertinggi. Pasaran di seluruh dunia sedang mengalami kejatuhan buat masa ini, tak kiralah sama ada beruang sudah muncul atau tidak. Kita lihat beberapa pasaran utama dunia

S&P 500 US. Yahoo Finance

Nasdaq US. Yahoo Finance

Shanghai Stock Exchange. Yahoo Finance

MSCI Global World Index. MSCI

MSCI Emerging Markets. MSCI

FBM KLCI. Yahoo Finance 

Kita dapat lihat bahawa semua pasaran ekuiti jatuh. Nasdaq sudah mengalami bear market dan yang lain pula sudah hampir kepada kejatuhan 20%. Cuma indeks kita FBM KLCI yang tidak jatuh begitu ketara, mungin kerana sejak 5 tahun lepas, pasaran kita pun tak naik seberapa.

Mengapa berlaku kemelut sekarang?  Antara sebabnya ialah:

  1. Perang dagangan kuasa besar dunia
  2. Dagangan global yang terjejas akibatnya
  3. Kitaran kenaikan kadar faedah di AS
  4. Proses mengurangkan lembaran imbangan Fed
  5. Masalah bajet dan politik dalaman AS.

Lagi pun pasaran AS telah mengalami kitaran kenaikan untuk tempoh yang amat panjang, iaitu sejak pemulihan krisis pada 2008, disokong oleh dasar pengembangan wang dan kadar faedah rendah Fed.

Sejarah menunjukkan bahawa tidak ada pasaran yang akan naik secara terus-menerus, lebih-lebih lagi apabila proses penguncupan wang dan kenaikan kadar faedah sedang dijalankan buat masa ini.

Jadi adalah hampir mustahil untuk menjana pulangan positif dalam keadaan semasa jika instrumen pelaburan atau tabungan anda mempunyai komponen pelaburan saham di dalamnya.

Kita perlu memahami situasi ini untuk memahami mengapa situasi pelaburan sedang merudum dan bagi yang bijak, mengambil kesempatan daripadanya.

____________

Ebook Razali Razman:

Beberapa bulan lepas saya juga ada membuat posting tentang keadaan pasaran dan kitaran hutang semasa menerusi artikel-artikel berikut:

Kaedah Memahami Krisis Hutang Besar

Bagaimana Ekonomi Berasaskan Kredit Berfungsi Menurut Ray Dalio

Anda Mungkin Ada Kepentingan Dalam Saham Walaupun Tidak Melabur Dalam Pasaran Saham

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *