Menyediakan Penyata Aset dan Liabiliti Peribadi

Tempoh hari ramai yang terkejut apabila diberitahu bahawa liabiliti Tabung Haji lebih tinggi daripada nilai asetnya. Ada yang macam tak percaya, ada yang kata memang dah agak dah.  Tetapi walaupun liabiliti Tabung Haji lebih tinggi buat masa ini (sehingga penyusunan semula), simpanan anda masih terjamin.

Keadaan kewangan kita pula bagaimana? Adakah kita juga mempunyai rizab negatif atau nilai aset bersih negatif. Harus diingat bahawa jika keadaan ini berterusan dan akhirnya kita gagal membayar kewajipan hutang, kesannya ialah kita jatuh muflis. Tiada siapa yang menanggung hutang kita.

Bagaimana untuk mengetahui kedudukan aset dan liabiliti kita? Mudah sahaja. Buat senarai semua aset (harta benda anda yang mempunyai nilai wang atau nilai jual semula) dan juga liabiliti (tanggungan atau hutang) anda.

Senarai aset atau liabiliti ini lazimnya dinamakan lembaran imbangan atau kunci kira-kira jika disediakan oleh sebuah syarikat. Kita pun boleh dan patut mengukur kedudukan kita, sekurang-kurangnya setahun sekali.

Pelbagai format boleh digunakan, tetapi untuk tujuan ringkas, saya pecahkan aset kepada aset semasa dan aset tetap manakala liabiliti dibahagikan kepada liabiliti semasa dan liabiliti jangka panjang.

Aset tetap ialah aset yang memerlukan masa untuk ditunaikan manakala aset semasa ialah tunai dan sebarang pelaburan yang boleh ditukarkan untuk tunai dalam tempoh yang singkat.

Pembahagian kategori aset atau format tidak penting, yang penting anda menyenaraikan semua aset dan liabiliti anda untuk melihat nilai bersih atau kata orang putih net worth anda.

Nilai Aset Bersih = Jumlah Aset – Jumlah Liabiliti

Berikut adalah contoh ringkas senarai aset dan liabiliti:

Bagaimana keadaan nilai bersih negatif boleh berlaku? Antara situasi yang boleh menimbulkan situasi liabiliti melebihi aset:

  1. Menggunakan kad kredit atau pinjaman peribadi untuk membeli barangan pengguna yang tiada nilai jual semula
  2. Perbelanjaan anda melebihi pendapatan setiap bulan dan anda menggunakan hutang (kemungkinan besar kad kredit) untuk menampung perbelanjaan.
  3. Anda beli aset pada harga tinggi yang sebahagian besarnya dibiayai hutang, kemudian nilai aset jatuh.
  4. Anda mengambil pinjaman untuk membiayai perniagaan dan perniagaan anda tidak berjaya

Bagaimana untuk meningkatkan nilai bersih anda?

  1. Menyimpan wang setiap bulan (termasuk tabungan KWSP).
  2. Membeli aset yang nilainya meningkat (contoh saham, unit amanah dll)
  3. Mendapat pulangan daripada aset (seperti sewa hartanah, dividen saham dll)
  4. Mendapat habuan dalam jumlah sekali gus seperti bonus atau harta peninggalan

Walau apa pun kedudukan anda sekarang, langkah menyediakan penyata aset dan liabiliti yang ringkas akan membantu anda mengetahui kedudukan kewangan semasa dan membolehkan anda menyediakan peta hala tuju untuk masa depan.

__________________

Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *