Mengapa Nilai Aset Boleh Ditafsirkan Dengan Cara Berbeza

Ramai yang agak musykil bila mendapati bahawa akaun syarikat atau organisasi boleh disediakan dan ditafsirkan dengan cara berbeza. Bagaimana tiga pihak berasingan (yang pakar dalam bidang masing-masing) boleh menilai aset dan liabiliti dengan tiga cara berlainan, menghasilkan tiga keputusan yang berbeza?

Sebenarnya perkara ini tidak menghairankan. Cuba kita ambil contoh mudah seperti nilai rumah anda? Jika anda menyediakan penyata aset dan liabiliti peribadi, berapakah nilai rumah anda? Adakah harga belian? Atau harga pasaran yang diiklankan untuk rumah di kawasan yang sama di mudah.my? Atau adakah nilai yang ditetapkan oleh jurunilai atau bank?

Andaikan anda telah membeli sebuah kondominium dua tahun lepas, di kemuncak pasaran hartanah pada harga RM500,000. Adakah anda akan meletakkan nilai RM500,000 dalam penyata aset dan liabiliti anda? Tetapi harga yang diiklankan sekarang ialah antara RM450,000 hingga RM490,000. Jika jurunilai bank yang membuat taksiran mungkin lebih rendah lagi pada RM440,000.

Sesetengah orang mungkin membuat keputusan untuk meletakkan RM500,000 dalam penyata aset dan liabiliti mereka kerana berpendapat lama kelamaan pasaran akan pulih. Orang lain pula akan menggunakan nilai pasaran. Malah jika anda menggunakan nilai pasaran sekali pun, apakah nilai yang paling sesuai antara RM450,000 dan RM490,000?

Bagaimana jika anda mengambil pembiayaan 90% dan turut memasukkan MRTT dalam pembiayaan. Ini bermakna jika harga jatuh di bawah RM450,000, anda mempunyai ‘negative equity’ dalam rumah tersebut.

Ini baru rumah, bagaimana pula dengan aset syarikat seperti saham tersenarai dan saham dalam syarikat Sdn Bhd? Penilaian aset (dan juga liabiliti) tidak semudah yang disangka.

Antara faktor yang perlu dipertimbangkan bagi saham tersenarai termasuk:

  1. Harga pasaran saham,
  2. Bolehkah saham dijual dalam blok besar pada harga pasaran, lebih rendah daripada harga pasaran atau lebih tinggi daripada harga pasaran?
  3. Bagaimana jika harga pasaran telah naik atau turun dengan ketara selepas tarikh lembaran imbangan tetapi sebelum laporan dimuktamadkan?

Manakala bagi saham tidak tersenarai (syarikat Sdn Bhd), antara pertimbangan termasuk:

  1. Harga belian
  2. Nilai aset bersih
  3. Tahap keuntungan atau kerugian
  4. Daya maju perniagaan pada masa depan

Penilaian kadangkala amat subjektif sehingga walaupun ada dua pihak bersetuju tentang kaedah penilaian, nilai yang dianggarkan masih berlainan. Inikan pula jika asas penilaian berbeza digunakan.

Untuk memastikan tiada kejutan negatif, lazimnya prinsip konservatisme diamalkan di mana penilaian konservatif dibuat untuk memastikan aset tidak terlebih nilai dan liabiliti tidak terkurang nilai.

Orang ramai perlu sedar bahawa perakaunan juga bukan exact science dan memerlukan unjuran dan anggaran yang munasabah tetapi tidak semestinya tepat.

———-

Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *