Pengumuman Apple dan Kaitan Dengan Ekonomi China, US dan Malaysia

Minggu lepas, Apple telah mengumumkan bahawa hasil jualan (revenue) syarikat dijangka hanya mencapai $84 billion berbanding ramalan $91 bilion sebelum ini, terutamanya akibat kelemahan di pasaran China. Apple ialah saham pegangan Berkshire Hathaway, syarikat Warren Buffett. Kemungkinan besar harga semasa telah jatuh di bawah harga belian puratanya.

Saham Apple: Yahoo Finance

Sementara itu saham Geely (pemilik Proton) pula jatuh akibat kebimbangan tentang tahap jualan di China. Sepanjang 2018, pasaran saham China jatuh sebanyak lebih 25% manakala Geely merosot lebih 50%.

Saham Geely: Yahoo Finance

Bagaimanapun, bukan semua berita bersifat negatif. Selepas Indeks Dow Jones pasaran AS menyusut seiring pengumuman Apple pada Khamis lepas, ia melonjak kembali memadamkan semua kejatuhan pada hari Jumaat apabila naik lebih 700 mata.

Puncanya bilangan pekerjaan yang dicipta oleh syarikat-syarikat di Amerika meningkat di luar jangkaan. Ini menunjukkan ekonomi AS masih lagi kukuh berbanding China.

Semua data ini menandakan bahawa sebahagian besar daripada dunia mengalami kesan daripada perang dagangan dan kenaikan kadar faedah, dengan China terjejas paling teruk sedangkan US pula masih dapat bertahan, walaupun pasaran sahamnya telah jatuh.

Selain daripada itu ia juga menunjukkan bahawa perang dagangan yang dimulakan AS mula mengenai sasarannya, iaitu China.

Dalam dunia serba global ini, beberapa di Malaysia juga terjejas akibat pengumuman tersebut.  Globetronics dan Inari Amertron yang berada dalam rantaian bekalan Apple jatuh harganya akibat pengumuman yang dibuat oleh Apple.

Inari Amertron: Bursa Malaysia

Tetapi adakah berlaku krisis global seperti 2008 atau krisis kewangan Asia 1998. Setakat ini, apa yang dilihat ialah kemerosotan untung, penurunan saham kerana sudah naik terlalu tinggi dan penyusutan pertumbuhan ekonomi. Belum nampak tanda kemelesetan ketara (perkembangan ekonomi negatif) di Amerika mahupun China.

Bagaimana pula dengan Malaysia? Data terbaru PMI (Indeks Pengurus Pembelian) menunjukkan penurunan daripada 48.2 kepada 46.8. Markah di bawah 50 menunjukkan tinjauan negatif.  Walaupun ekonomi tetap dijangka berkembang secara tahunan, kadar pertumbuhan lebih rendah dijangkakan.

Dari segi ekonomi, 2019 dijangka satu lagi tahun mencabar bagi ekonomi dan rakyat Malaysia. Bagaimanapun terdapat perbezaan antara krisis dan juga kesukaran. Krisis bermaksud saham akan jatuh lebih teruk lagi, manakala jika masalah ini sekadar pertumbuhan lebih rendah, ini bermakna saham walaupun berpotensi jatuh lagi, mungkin sudah hampir ke paras dasar.

Bear market (penurunan saham) tidak semestinya menandakan kemelesetan ekonomi. Kadangkala saham turun kerana sudah naik terlalu tinggi atau berlaku kenaikan kadar faedah seperti di AS dan penguncupan lembaran imbangan Fed yang mengurangkan tahap kecairan di pasaran.

Nota: Kembali kepada Apple, ada ura-ura mengatakan Buffett sanggup beli jika harga jatuh. Sekarang harga sudah jatuh tetapi adalah beliau akan membeli berasaskan data terbaru? Kita hanya boleh tunggu dan lihat.  Kita sebagai pelabur individu, walaupun tiada akaun dengan broker online antarabangsa atau US, masih boleh membeli saham di AS menerusi broker tempatan (kos lebih mahal sedikit). Jika anda tidak tahu, tanya broker saham anda tentang cara membeli saham AS seperti Apple, Facebook dan Google.

______________

Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *