Selepas Kejatuhan Pasca Penyenaraian, Adakah Harga LC Titan Menawarkan Nilai Kepada Pelabur?

Penyenaraian Lotte Chemical Titan (LCTitan) pada pertengahan 2017 sememangnya tidak boleh dianggap sebagai IPO yang berjaya.  Bukan kerana syarikat ini tidak kukuh, cuma harga penyenaraian terlalu tinggi dan berlaku faktor tertentu yang menjejaskan keuntungan yang gagal didedahkan oleh Syarikat sebelum penyenaraian.

Pada mulanya penyenaraian ditetapkan pada harga lebih RM8 tetapi kemudian harga diturunkan kepada RM6.50. Harga lebih rendah ini juga menghampakan pelabur kerana harga terus jatuh selepas disenaraikan.

LCTitan ialah sebuah syarikat pengeluar petrokimia yang menghasilkan produk seperti polietilena, polipropilena, etilena, propilena dan bahan derivatifnya. Antara syarikat lain dalam kategori sama ialah Petronas Chemicals (Petchem).

Berikut adalah pergerakan harga saham syarikat selepas penyenaraian sehingga kini:

LC Titan: Bursa Malaysia

Kita dapat lihat dalam graf bahawa syarikat ini adalah sebuah syarikat dengan prestasi kitaran, berasaskan turun naik margin untung yang diperolehi, yang sebahagian besarnya dipengaruhi oleh harga bahan mentahnya, iaitu nafta.

Berikut adalah prestasi suku tahunan terbaru syarikat:

Jika prestasi sama berjaya dikekalkan pada suku keempat,  syarikat akan mencatatkan EPS lebih kurang 42-43 sen. Berasaskan harga penutup harga hari ini iaitu 4.62, nisbah P/E ialah lebih kurang 11. Angka ini masih rendah berbanding para pesaing serantau, termasuk Petchem.

Selain daripada itu, nilai aset bersih sesahamnya berada pada paras RM5.27, lebih tinggi daripada harga saham semasa. Persoalannya ialah mengapa pasaran memberikan penilaian rendah kepada syarikat ini?

Mungkin sebab masalah yang timbul daripada penyenaraian di mana ramai pelabur telah hampa. Lagipun, pendapatan syarikat pesaing seperti Petchem yang sudah lama mencatatkan rekod keuntungan yang konsisten, menyebabkan pelabur lebih yakin terhadapnya, walaupun penilaiannya lebih mahal berbanding LCTitan.

Bilakah LCTitan akan diberi penilaian lebih tinggi? Jika ia kembali mendapat keyakinan pelabur dengan prestasi yang konsisten. Satu perkara yang menarik tentang syarikat ini ialah ia lazimnya melaporkan keputusan suku tahunan dalam masa sebulan selepas akhir suku tahun, berbanding hampir dua bulan bagi kebanyakan syarikat lain.

Keputusan suku tahunan terbaru dijangka diumumkan dalam masa dua tiga minggu lagi dan harus diteliti oleh mereka yang berminat dengan saham ini.

Berikut adalah dua laporan penyelidikan yang boleh dirujuk oleh pelabur:

  1. Analisis Maybank IB Research di Bursa Market Place.
  2. Analisis BIMB di I3Investor

Nota: Rencana ini bukan cadangan untuk membeli dan menjual dan hanyalah untuk makluman pembaca sahaja. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh pembaca berasaskan artikel ini. Penulis juga mungkin mempunyai kepentingan dalam saham yang dianalisis dalam Rencana Ringgit.


Ebook Razali Razman:

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *