Tabung Haji Kurangkan Pegangan Saham, ‘Kembali’ Menjadi Instrumen Tabungan

Tiga hari lepas, CEO Tabung Haji (TH), Datuk Seri Zukri Samat membuat pengumuman bahawa TH akan mengurangkan pegangan ekuiti (saham) daripada 50% kepada 30%. Menurut beliau, TH bukannya pengurus dana.

Pegangan saham TH ialah 55% pada 2016 dan 50% pada 2017. Sekarang pendedahan saham akan dikurangkan lagi secara beransur-ansur. Mengapa pendedahan saham dikurangkan dan apakah kesannya?

Pertama sekali peruntukan 50% saham dan 50% instrumen pendapatan tetap (seperti sukuk) adalah mirip dana seimbang atau balanced fund dalam unit amanah.  Seperti yang saya tulis dalam analisis pulangan dana unit amanah pada 2018, hampir semua dana seimbang rugi pada tahun 2018.

Jika TH ialah sebuah dana pelaburan sebenar, maka ia tidak boleh menjamin nilai pelaburan pelabur. Harganya mestilah berubah-ubah. Ini bermakna jika kerugian berlaku maka pelabur pun akan turut sama menanggung kerugian.  Jika tidak kesannya ialah seperti apa yang berlaku sekarang, iaitu defisit dalam rizabnya.

Jadi dengan memegang sehingga 50% saham, nilai pelaburannya bersifat lebih volatile dan naik turun mengikut pasaran saham. Sedangkan nilai tabungan penyimpan adalah dijamin.

Dengan mengurangkan pendedahan ekuiti, nilai pelaburannya lebih stabil dan risiko turun naik saham juga dikurangkan.

Tetapi sudah tentu ada kontranya. Ini bermakna pulangan yang diberikan juga adalah mirip instrumen simpanan. Dalam jangka panjang, pelabur mungkin tidak boleh mengharapkan pulangan tinggi seperti sebelumnya.

Kita tidak boleh membandingkannya dengan pembayaran hibah beberapa tahun lepas kerana berasaskan akaun dan kedudukan rizab negatif , ia tidak sepatutnya mampu membayar hibah, tetapi tetap membayar, lantas menimbulkan kemelut semasa.

Jadi apa yang boleh diharapkan oleh pelabur? Jika diuruskan dengan baik dari sekarang, penabung boleh mengambil pulangan dividen 10 tahun KWSP (bukan hanya dua tiga tahun lepas di mana dividen adalah tinggi) sebagai contoh. Ini kerana profil pegangan ekuiti KWSP adalah lebih kurang sama.

Sebenarnya masalah di Malaysia ialah instrumen seperti ASB dan TH telah menyebabkan pelabur atau penabung berpendapat bahawa mereka boleh mendapatkan ‘returns without risk’.  Dunia sebenar amat berbeza, di mana anda perlu menangung risiko dan volatiliti untuk meraih untung. Hanya di Malaysia ada instrumen sebegini.

Maksudnya sekarang ialah jika pelabur mahukan pulangan lebih tinggi, mereka perlu melabur dalam instrumen berisiko lebih tinggi seperti unit amanah dan saham. Simpanan TH ialah bagi mereka yang mahukan jaminan terhadap simpanan mereka, maka janganlah harapkan pulangan yang setimpal seperti pelaburan.

_____________

Dua E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut.

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *