Melabur Secara Patuh Syariah Di China

Kebelakangan ini kita sering mendengar berita kurang positif tentang China. Indeks pasaran saham Shanghai telah merosot 24.6% pada tahun 2018.  Sejak mencapai paras tertinggi pada tahun 2015, indeks tersebut telah jatuh kira-kira 50%.

 

SSE Index – Yahoo Finance

Selain itu, menurut berita di Bloomberg, China mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak 2009. Ditambah pula dengan Perang Dagangan yang masih belum selesai dengan Amerika, serta jualan telefon dan kereta yang merosot, tidak menghairankan jika ramai yang pesimistik dengan prospek negara tersebut.

Tetapi baru-baru ini Affin Hwang Asset Management telah melancarkan sebuah ETF bernama TradePlus S&P New China Tracker yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Dana yang tidak patuh syariah ini melabur dalam syarikat-syarikat berunsur perkhidmatan yang bakal memacu ekonomi baru China. Perkara yang menarik ialah Dana dilancarkan dalam keadaan agak negatif.

Mengapa? Mungkin sebab mereka berpendapat pasaran sudah mencapai tahap yang rendah dan walaupun masalah mungkin berlarutan sehingga setahun atau dua, terdapat potensi untuk memanfaatkan lantunan atau kenaikan yang bakal berlaku dalam jangka masa lebih panjang.

Sekiranya anda juga bersetuju dengan pandangan ini, bagaimana untuk melabur di China dengan cara yang patuh syariah? Memang sukar untuk menentukan sendiri kepatuhan syariah saham-saham di China, tetapi pelabur masih ada beberapa pilihan:

1.  Melabur dalam dana unit amanah yang melabur secara khusus di rantau China.

Terdapat terlalu sedikit dana seperti ini dan dua daripadanya ialah Eastpring Investments Dinasti Ekuiti  dan Public China Ittikal. Anda tidak akan menemuinya dalam kategori Syariah Morningstar kerana tidak cukup dana seperti ini untuk membuka satu kategori. Sebaliknya ia dimasukkan dalam kategori umum Equity Greater China.

2. Melabur dalam Dana Asia Pasifik yang turut merangkumi China

Terdapat satu kategori dana dalam Morningstar, iaitu Asia Pasifik ex Japan (Sharia) yang melabur dalam syarikat-syarikat di Asia Pasifik. China ialah salah daripada destinasi pelaburannya. Anda boleh semak fund fact sheet (lembaran maklumat dana) untuk melihat peratusan pegangan saham dana pilihan anda.

Berikut adalah senarai dana dalam kategori ini:

Morningstar Malaysia – Equity Asia Pacific ex-Japan (Sharia)

 

3. Melabur terus dalam saham patuh syariah China di pasaran saham HK and AS 

Kaedah ini agak sukar kerana broker Malaysia kebanyakannya menawarkan pelaburan di pasaran tertentu sahaja dan satu lagi ialah menentukan status patuh syariah. Satu cara ialah melihat syarikat-syarikat yang dilaburkan oleh dana-dana dalam pilihan No. 1 dan 2 di atas dan melihat sama sama ada saham tersebut disenaraikan di pasaran HK atau AS.

Memang ekonomi China menghadapi sedikit gelora buat masa ini, tetapi ekonomi dan pasaran bersifat kitaran dan bila anda rasa kemelut semakin reda, anda boleh mempertimbangkan untuk melabur di negara gergasi ekonomi ini secara patuh Syariah, menerusi cara yang dinyatakan di atas.

Nota: Jika ada kaedah lain atau dana atau ETF lain yang melabur di China yang tidak disebut di sini, sila maklumkan di bahagian komen FB atau blog.

______________________________

Dua E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *