Malu Apa Atlet Jual Jambu

Baru-baru ini keluar berita di Free Malaysia Today tentang paraatlet pelumba basikal Shukor Farhan Suliman (kanan dalam gambar: Sumber FMT) yang dikatakan ‘terpaksa’ jual jambu kerana kontraknya ditamatkan. Nada laporan berbaur sedih dengan bayangan bahawa taraf atlet tersebut jatuh daripada mengharumkan nama negara kepada berniaga jual jambu.

Saya tidak berminat untuk membincangkan betul salah penamatan kontrak beliau, tetapi nak tekankan bahawa tiada malu dan salah berniaga jual jambu. Dari segi penciptaan nilai atau value creation kepada masyarakat jual jambu mempunyai nilai ekonomi sebenar lebih tinggi daripada berbasikal atau berlari mengelilingi trek atau membaling sesuatu atau melompat pagar. tinggi atau jauh.

Cuma persepsi masyarakat masa kini lebih memberi nilai lebih tinggi kepada aktiviti seperti bersukan dan hiburan daripada berniaga dan bekerjaya.

Kebanyakan sukan di Malaysia sebenarnya tiada nilai komersial untuk menyokong atlet profesional. Ini bermakna tidak cukup penonton atau minat terhadapnya untuk membolehkan pemain dibayar secara komersial.  Mungkin yang ada hanyalah bolasepak dan badminton dan beberapa atlet terbaik dalam beberapa sukan lain.

Sukan lain seperti hoki lebih menjurus kepada bantuan CSR. Ini bermakna tajaan diberikan sebagai tanggungjawab sosial korporat untuk membangunkan sukan dan bukannya dapat menjana nilai komersial sebenar daripada sukan tersebut.

Berniaga sendiri adalah aktiviti yang positif dan menjana nilai. Walaupun pendapatan yang diperolehi sekarang adalah lebih rendah daripada kontrak yang ditamatkan, potensi untuk belajar dan mengembangkan perniagaan memang ada. Lebih awal dia bermula lebih baik. Potensi pendapatan adalah jauh lebih tinggi jika berjaya.

Jika hendak beri bantuan, berilah bantuan dengan modal atau kursus perniagaan. Kita pula jika kita terserempak dengan mereka patut membeli produk dan membantu perniagaan mereka.

Satu perkara mengejutkan ialah beliau mendakwa bahawa jurulatihnya dalam MSN menggalakkan beliau untuk tidak mengambil SPM beberapa tahun lalu kerana terlalu hampir dengan kejohanan. Ini satu nasihat yang kurang baik kepada atlet tersebut kerana tidak memikirkan implikasi jangka panjang jika atlet tercedera, tidak lagi mampu mencapai tahap tertinggi atau bersara

Kontrak sebagai atlet akan berakhir juga satu hari nanti. Mungkin dalam kes ini berlaku lebih awal daripada dijangka. Kita patut menggalakkan atlet berniaga dan menceburi dunia kerjaya dan menjana nilai ekonomi sebenar dan bukannya menunjukkan seolah-olah bencana telah menimpa .

Nota: Pada satu masa dulu, ahli sukan profesional tidak dibenarkan menyertai Olimpik. Ini bukan pemikiran kolot tetapi ada ideal di sebalik larangan tersebut.  Tetapi dunia sekarang sudah berfikiran jauh berbeza sehingga bermain bola, berlari dan berbasikal mengelilingi litar dipandang lebih tinggi daripada perniagaan dan kerjaya yang menjana nilai ekonomi sebenar.

Jangan pula ingat saya anti-sukan kerana saya juga pemain hoki negeri dulu dan anak-anak saya juga bermain hoki secara serius di peringkat usia untuk negeri sekarang. Cuma kita perlu sedar apa sebenarnya yang penting dan apa yang betul-betul ada nilai.

____________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

Unit Amanah

 

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *