Brexit & Kesan Terhadap Pelaburan Anda

BrexitSelepas tergugat pada hujung tahun lepas, pasaran global kini mula stabil dengan langkah Rizab Persekutuan AS melengahkan kenaikan kadar faedah, diiringi pemulihan pasaran saham global.  Bangsa-Bangsa Bersatu juga meramalkan pertumbuhan global 3% yang lebih perlahan, tetapi tiada kemelesetan.

Namun ada satu lagi faktor yang perlu diperhatikan teliti, iaitu Brexit. Apakah Brexit? Gabungan dua perkataan, Britain + Exit. Dua tahun lepas, United Kingdom (England, Scotland, Wales, Ireland Utara) telah melaksanakan referendum dan rakyatnya secara keseluruhan telah membuat keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU), walaupun Scotland dan Ireland Utara mengundi sebaliknya.

Manakala Ireland (yang merupakan negara berasingan dan bukan dalam UK) sememangnya kekal dalam EU.

Tarikh Brexit ialah 29 Mac, 2019. Jadi apa masalahnya? Kedua-dua EU dan UK belum mencapai kata sepakat tentang cara proses ini dilaksanakan. Pada mulanya Perdana Menteri Britain Theresa May telah bersetuju dengan para pemimpin EU tetapi persetujuan tersebut telah ditolak oleh Parlimen UK dengan majoriti besar.

Parlimen mahu Perdana Menteri merundingkan kembali perjanjian dengan EU tetapi EU mendakwa perjanjian tersebut tidak boleh dirundingkan lagi.

Antara perkara yang menjadi pertikaian ialah sempadan antara Ireland dan Ireland Utara, di mana penduduk pulau tersebut rata-rata tidak mahu sebarang sempadan yang mencetus peperangan selama lebih 30 tahun pada satu masa dulu.

Risiko paling besar kepada ekonomi UK dan juga dunia ialah kemungkinan UK keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian, yang akan menyebabkan kerumitan besar dari segi pergerakan barangan, cukai dan kastam. Di samping itu ia berpotensi menyebabkan kemelesetan ketara di UK untuk tahun ini.

Memandangkan Britain ialah ekonomi kelima terbesar di dunia, dengan hubungan dagangan yang luas, kesannya juga pasti menjejaskan dunia, jika tiada persetujuan dicapai.

Berikut adalah antara perkara yang mungkin berlaku:

  1. UK berjaya memujuk EU untuk merundingkan semula perjanjian, perjanjian baru dimeterai dan parlimen UK bersetuju.
  2. UK dan EU memeterai Customs Union seperti yang disarankan pemimpin pembangkang Jeremy Corbyn.
  3. Referendum kedua mengenai Brexit diadakan.
  4. Pilihanraya Umum diadakan sekali lagi
  5. Tarikh keluar daripada EU dilengahkan setahun dua.
  6. UK keluar daripada EU tanpa sebarang perjanjian.

Risiko paling besar kepada ekonomi dan pasaran saham dunia ialah pilihan keenam.yang berpotensi mendatangkan kejutan yang besar tetapi mungkin bersifat sementara. Tetapi kejutan ini juga berpotensi mewujudkan peluang pelaburan pada harga lebih rendah.

Mungkin kemelut dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat atau mungkin tidak. Perkembangan ini harus diperhatikan untuk menentukan strategi pelaburan anda sebelum dan selepas tarikh tersebut.

Nota:

Great Britain = Pulau yang merangkumi England, Wales dan Scotland
United Kingdom = England, Wales, Scotland + Ireland Utara

________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *