Aiman Jalil: Tiada Ijazah Tak Bermakna Gagal

Aiman JalilRezeki ada di mana-mana. Memang ada banyak cara untuk cari makan dan membina kerjaya. Bukan semua jalan perlu melalui menara gading atau melibatkan bisnes sendiri. Artikel kali ini menemubual Aiman Jalil, pemuda berusia 21 tahun yang tak begitu cemerlang dalam pelajaran.

Selepas tiga tahun bekerja, gaji asas beliau sahaja sudah melebihi pendapatan minimum yang menjadi syarat untuk mendapatkan pinjaman rumah mampu milik yang diumumkan baru-baru ini. Itu belum mengambil kira insentif dan bonus yang menambah pendapatan bulanan puratanya dengan ketara.

Aiman bekerja dengan sebuah jenama runcit terkenal di cawangan Pavilion.

1. Kenapa Aiman buat keputusan untuk bekerja dan tak sambung belajar selepas SPM?

Pada awalnya perancangan untuk mencari pengalaman, mengetahui betapa susahnya buat duit dan juga belajar cara hidup dan cara kerja orang dewasa. Saya akhirnya buat keputusan untuk tidak sambung belajar bila saya baca satu artikel bertajuk “Bukan semua orang yang sambung belajar selepas graduate akan dapat kerja.” Dari situ saya nampak realitinya.

2. Bila dan bagaimana mula bekerja dengan syarikat ini?

Saya mula bekerja pada Januari 2016. Bukan senang nak dapat kerja, tetapi Insyaallah ada rezeki. Pada waktu itu saya mencari kerja di maukerja.com, Jobstree, Linkedin dan minta kawan atau kenalan recommend.

3. Mula kerja part time ke full time?

Pada mulanya part time. Lepas tu pergi interview untuk kerja full time dan syarikat terus ambil bekerja.

4. Apakah skop tugas sekarang?

Menjaga inventori. Melihat barangan mana yang laris dijual dan barangan mana yang perlu dipesan dan membuat laporan. Kadangkala jika ada kekurangan kakitangan perlu layan pelanggan di gedung.

5. Aiman boleh berbahasa Inggeris? Adakah penggunaannya satu keperluan dalam syarikat?

Boleh bertutur dengan jelas, walaupun bukan perfect. Perlu sebab kena berkomunikasi dengan boss dan pekerja lain dalam situasi tertentu dan juga kadangkala dengan pelanggan.

6. Berapakah jam kerja dan berapa hari seminggu?

Jam kerja Aiman bergantung pada syif, sama ada 9.00 pg – 6.30 ptg atau 1.00 tgh – 10.30 mlm. Kerja 5 hari seminggu. Ada kalanya balik lebih lewat dan sekali-sekala mungkin kena uruskan hal jika perlu, walaupun tidak bekerja.

7. Syarikat ada bagi latihan tak?

Memang syarikat ada bagi banyak peluang untuk develop pengetahuan dan kemahiran pekerja. Ini satu daripada perkara menarik di sini. Sambil bekerja kita terus belajar.

8. Apa yang menarik bekerja di Syarikat tersebut?

Pengalaman kerja sangat menarik dan banyak benefit yang Aiman dapat. Memang susah nak cuti pada waktu hujung minggu tetapi  dalam sebulan ada sekali cuti hujung minggu. Dalam kerja sebegini, kita boleh tengok macam-macam ragam manusia dan saya dapat banyak belajar dan terima tunjuk ajar dari senior. Setakat ini memang pengalaman bekerja sendiri banyak mengajar Aiman.

9. Apa cita-cita Aiman dalam kerjaya?

Saya mula dari bawah dalam bidang retail dan bukan senang nak naik dalam bidang ini, tetapi perlu bersabar dan belajar benda baru setiap hari. Ambil langkah demi langkah. Kalau boleh sudah tentu nak jadi pegawai berpangkat tinggi. Sekurang-kurangnya langkah seterusnya ialah supervisor.

10. Apa nasihat Aiman untuk budak lepasan sekolah yang tak dapat sambung belajar dan nak memulakan kerjaya?

Tak dapat sambung belajar tidak bermakna anda gagal dalam hidup. Tiada istilah gagal dalam hidup jika kita usaha. Kena rajin dalam apa yang kita buat. Cari kerja yang kita minat dan terus belajar dalam kerja tersebut. Kena betul-betul yakin apa yang kita belajar akan memberi impak pada masa depan, iaitu untuk membina kerjaya yang baik. Tak kisahlah kerja apa yang nak buat tetapi perlu belajar dan upgrade yourself. Yang penting tunjukkan minat dan perlu rajin.

Soalan Bonus: Aiman masih available ke?

Ya. Masih available!

_____________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *