Kadar Faedah AS dan Penyongsangan Kadar Hasil

Baru-baru ini terdapat dua perkembangan penting di AS. Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mengumumkan bahawa tiada kenaikan kadar faedah dirancang pada tahun ini.  Langkah ini merupakan perubahan ketara daripada 3 kenaikan yang dirancang pada tahun lepas untuk tahun 2019.

Perkembangan penting kedua ialah Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil, iaitu keadaan di mana kadar hasil (yield) bon perbendaharaan AS (bon kerajaan AS) menjadi lebih tinggi bagi bon yang matang dalam 3 bulan, berbanding bon 10 tahun.  Perkara ini jarang berlaku kerana lazimnya bon jangka panjang mempunyai kadar hasil yang lebih tinggi.

Kembali kepada situasi pertama mengenai kadar faedah. Langkah Fed ini sepatutnya positif kepada pasaran kerana kadar lebih rendah (dan kos hutang lebih rendah) lazimnya lebih positif bagi perniagaan.

Tetapi perubahan pandangan Fed, daripada menaikkan kadar kepada mengekalkan kadar, menandakan salah satu atau kedua-dua perkara berikut:

  1. Ketiadaan inflasi
  2. Pertumbuhan ekonomi global dan AS semakin terjejas.

Kedua-duanya bukan faktor yang begitu positif.

Mengenai perkembangan kedua, iaitu Yield Curve Inversion atau Penyongsangan Kadar Hasil.  Kali terakhir perkara ini berlaku, seperti dalam graf ialah pada 2007.  Dalam tempoh 50 tahun lepas, hampir setiap kali kadar hasil menyongsang, kemelesetan berlaku di AS dalam tempoh 12 – 24 bulan, kecuali sekali.

Kadar Hasil Bon 10 Tahun AS – Bon 3 Bulan

Dipetik daripada laman Market Watch

Kelemesetan tidak semestinya berlaku di AS, kerana mungkin kali ini keadaan berbeza dan situasi juga bergantung kepada pelbagai indikator ekonomi lain, tetapi kita sebagai pelabur yang dipengaruhi keadaan global perlu memantau perkara ini.

Keadaan di AS mungkin mempengaruhi Malaysia, tetapi terdapat kebarangkalian juga bahawa pada masa berlaku kemelesetan di AS, situasi ekonomi Malaysia pula sudah kembali kukuh.

Jadi perkembangan global seperti ini penting untuk menentukan bila untuk melabur di Malaysia dan bila untuk melabur di AS atau di peringkat global, khususnya bagi pelabur global, memandangkan dalam dunia masa kini pelabur kecil sekali pun berpeluang untuk melabur di pasaran AS.

Untuk bacaan lanjut untuk memahami Penyongsangan Kadar Hasil atau Yield Curve Inversion

  1. Artikel di Marketwatch
  2. Artikel di Reuters
  3. Artikel di Forbes

________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

2 Replies to “Kadar Faedah AS dan Penyongsangan Kadar Hasil”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *