Kos Efektif Bon Samurai 4% Selepas Swap Mata Wang

Bon SamuraiMenurut laporan The Edge pada awal minggu ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mendedahkan bahawa kos efektif Bon Samurai ialah hampir 4% selepas mengambil kira transaksi swap mata wang, walaupun kadar kupon pinjaman hanyalah 0.53% dan kos jaminan daripada Japan Bank for International Corporation ialah 0.1%.

Swap mata wang atau dikenali sebagai cross currency swap ialah transaksi yang bertujuan melindungi pendedahan kepada risiko pertukaran mata wang.

Seperti yang saya nyatakan dalam artikel saya sebelum ini, kos lindung nilai mata wang akan menentukan sama ada tindakan mengambil pinjaman asing adalah berbaloi, dan nampaknya kos tersebut telah meletakkan pinjaman pada tahap yang hampir sama dengan Bon MGS yang diterbitkan dalam RM.

Artikel dalam The Edge menyebut bahawa kadar kupon bagi MGS 10 tahun ialah 3.885% manakala kadar hasil (yield), yang merupakan hasil yang diterima apabila membeli di pasaran terbuka ialah antara 3.78% hingga 3.8%.

Persoalan yang timbul ialah jika kos muktamadnya adalah sama seperti MGS, mengapakah kita tidak menerbitkan sahaja MGS untuk melangsaikan hutang 1MDB yang kadarnya jauh lebih tinggi?

Menurut artikel kemusykilan tersebut tidak dijawab oleh Menteri Kewangan.

Hakikatnya Malaysia tidaklah rugi dalam transaksi ini tetapi persoalan sama ada inikah penyelesaian terbaik timbul dengan pendedahan tentang kos efektif.

Paling penting ialah apabila kita mengeluarkan pinjaman dalam mata wang sendiri, kita masih mengekalkan monetary sovereignity (menurut Modern Monetary Theory).

Dalam keadaan terdesak, kita boleh ‘mencetak wang’ untuk menyelesaikan hutang dalam mata wang sendiri, walaupun ia akan mencetus sedikit inflasi, tetapi kita hilang pilihan ini apabila menggunakan hutang luar.

Walau apa pun, keputusan sudah dibuat bagi saya dengan pendedahan kos efektif ini (jika artikel dalam The Edge ini sahih dan dilaporkan dengan betul) kita tidak perlu mengambil pembiayaan luar, melainkan ada jawapan dan sebab lain yang belum diberikan oleh Menteri Kewangan.

______________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *