Unjuran Pulangan Masa Depan TH Sedarkan Umum Bahawa ‘Tiada Makan Percuma’ Dalam Hal Kewangan

TH baru-baru ini mengumumkan kadar hibah 1.25%, yang terendah dalam sejarah. Siapa yang salah? Itulah yang dipersoalkan orang ramai. Bagi saya ini bukan isu utama dan saya sentuh sikit dalam nota di hujung artikel. Tetapi yang lebih penting ialah hari yang pasti akan tiba sudah muncul. Bak kata orang putih there is no such thing as a free lunch.

Semua pelaburan melibatkan risiko tetapi dengan instrumen seperti ASB dan TH, pelabur bumiputera dan Islam di Malaysia telah dimanjakan dengan keistimewaan bahawa kita boleh mendapatkan pulangan yang memuaskan tanpa risiko.

Defisit yang dialami TH ialah realiti pelaburan. Dana unit amanah pun prestasinya kurang baik dalam tempoh 1-5 tahun lepas.  Harga unit dana unit amanah akan turun serta-merta apabila nilai pelaburan turun.

Tetapi dengan TH, ini tidak boleh berlaku kerana ciri-ciri ‘jaminannya’. Di samping itu ‘kerajaan’ tak kiralah siapa yang jadi kerajaan rasa tertekan untuk memuaskan rakyat dan mengisytiharkan hibah yang lebih tinggi daripada apa yang mampu dibayar.

Situasi seperti ini adalah unsustainable. Justeru, kenyataan oleh CEO Tabung Haji bahawa hibah pada masa depan adalah sebanding dengan deposit bank adalah sesuatu yang bertepatan dengan realiti kerana hakikatnya TH ialah satu bentuk tabungan, bukan pelaburan.

Jadi apa yang patut anda buat dengan wang anda?

Pada pendapat saya tabungan kecemasan, dana untuk haji dan juga sebarang bentuk dana yang mana anda tidak sanggup atau tidak mampu menanggung kerugian ke atasnya patut dikekalkan dalam TH.

Jika anda seorang yang langsung tak mahu menanggung risiko, maka bolehlah simpan semua wang anda di TH (kalau tak nak melabur dalam ASB).

Tetapi untuk mendapatkan pulangan lebih tinggi anda perlu mencari instrumen pelaburan lain seperti unit amanah, saham atau hartanah di mana anda perlu menanggung risiko untuk menerima pulangan yang lebih tinggi.

Kita akan sampai bila-bila mempunyai mindset yang salah tentang risiko dan ganjaran sehinggalah kita faham bahawa untuk mendapatkan ganjaran, kita perlu menanggung risiko. Tiada jalan lain.

Ada dua tokoh yang telah memberikan penerangan yang baik kepada media tentang situasi di TH, iaitu CEOnya dan juga Ustaz Zaharuddin. Mungkin anda tidak bersetuju tetapi bagi saya apa yang mereka katakan rata-rata betul.

Temu ramah BHonline dengan Dato’ Seri Zukri Samad

Temu ramah TV1 dengan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

Nota:

Perbahasan tentang siapa salah dalam hal TH ini terlalu dipengaruhi oleh perasaan dan siapa yang anda sokong. Pendapat peribadi saya kemelut ini sebahagiannya berpunca daripada kelemahan pengurusan lama dan sebahagiannya kerana pasaran kurang baik.  Ada yang kata pasaran kurang baik kerana kerajaan PH.  Bagi 2018 tidak. Sehingga akhir 2018, pasaran global semuanya merudum. Tetapi pada 2019, banyak pasaran telah rebound namun pasaran Malaysia makin ke belakang. Jadi jika prestasi tidak bertambah baik pada 2019, maka barulah tanggungjawabnya terletak pada pihak pengurusan dan/atau kerajaan baru.

_____________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *