Jack Ma kata kerja 12 jam sehari 6 hari seminggu. Setuju atau tidak?

Baru-baru ini Jack Ma, pengasas Alibaba yang menjadi idola ramai usahawan dan golongan muda, berkata orang yang mahu berjaya dalam industri IT patut bekerja 12 jam sehari 6 hari seminggu. Ini bermakna 72 jam seminggu!

Kenyataan beliau telah menimbulkan kontroversi kerana aduan di China tentang nasib pekerja-pekerja dalam industri IT yang jatuh sakit atau meninggal dunia kerana bekerja terlalu lama.

Kitaran kerja seperti ini digelar 996, iaitu mula bekerja pada jam 9 pagi, habis kerja pada jam 9 malam dan bekerja 6 hari seminggu.

Dengan jadual sebegini, hidup anda sudah tentulah dipenuhi dengan kerja sahaja. Jika sudah berkeluarga, masa sikit di luar waktu bekerja itu bolehlah berjumpa keluarga dan melakukan urusan lain.

Bagaimana pula dengan senaman? Tak tahulah di mana untuk menyelitkan senaman dan sebarang aktiviti sosial.  Kalau sudah berkeluarga pula, perlulah outsource segala urusan hal ehwal pengurusan anak kepada suami/isteri atau pihak lain.

Adakah budaya kerja 996 wajar?

Sebenarnya jam kerja begini bukanlah sesuatu yang baru, dan memang  perkara biasa dalam sesetengah profesion, termasuk bidang perubatan (terutamanya di peringkat awal), perakaunan, perundingan, pengiklanan dll.

Malah ramai usahawan juga perlu bekerja sepanjang hari, walaupun bukan semuanya di pejabat.

Persoalan sama ada ia wajar atau tidak bukan soal hitam putih, betul atau salah.

Ia bergantung kepada apa yang anda mahu dalam hidup.  Ramai usahawan (bukan semua) seperti Jack Ma perlu bekerja keras seperti itu untuk berjaya. Begitu juga kebanyakan doktor dan golongan profesional

Tetapi bukan semua orang yang mahu berjaya seperti itu. Bukan semua orang mahu menjadi jutawan atau billionnaire. Mungkin bagi sesetengah orang perkara lain seperti keluarga dan kesihatan lebih diutamakan.

Satu lagi faktor berapa efisien kerja anda. Kadangkala bekerja dengan cekap tanpa terlalu banyak media sosial boleh mengurangkan waktu kerja sambil meningkatkan produktiviti.

Jadi perdebatan sama ada wajarkah anda bekerja waktu kerja seperti itu tidak ada jawapan betul atau salah. Jika anda mahukan kekayaan besar atau kejayaan besar, atau ingin bekerja untuk orang seperti Jack Ma, anda tiada pilihan.

Malah ada yang bekerja keras kerana minat membantu orang, bukan semata-mata untuk kaya, seperti doktor kerajaan yang berdedikasi.

Jika tidak sanggup dan rasa ada perkara yang lebih penting dalam hidup, boleh cari pilihan lain yang memberikan kehidupan yang lebih seimbang.  Semua orang ada pilihan.

Jika kita lihat atlet yang paling berjaya di dunia seperti Michael Jordan, Manny Pacquiao, Tiger Woods, Mohamad Ali dan lain-lain. Semuanya bekerja sangat keras untuk sampai ke tahap itu, tetapi kadangkala kejayaan ada kesannya dari segi kecederaan dan lain-lain faktor.

Begitu juga dunia kerjaya. Persoalannya ialah berapakah ‘harga’ yang sanggup anda bayar (atau pengorbanan yang sanggup anda buat) dan adakah berbaloi untuk membayar harga tersebut?

Sumber gambar: The Star Online

_____________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *