Bila Kerajaan Mengurangkan Perbelanjaan

Baru-baru ini Merdeka Centre telah melakukan tinjau selidik yang menunjukkan bahawa approval rating untuk Kerajaan telah menyusut daripada lebih 70% kepada 39%.  Kebimbangan utama pengundi (63%) ialah keadaan ekonomi.

Ekonomi lebih membimbangkan daripada sebarang polemik mengenai agama, kaum, hak dan lain-lain. Memandangkan situasi pasaran, perniagaan dan pekerjaan semasa, ini tidak menghairankan.

Kerajaan sekarang dalam usaha melaksanakan penghematan dan pengurangan hutang. Justeru, sepanjang tempoh setahun, naratif yang kita dengar ialah fokus pada mengurangkan perbelanjaan dan hutang.

Tetapi kerajaan tidak beroperasi sama seperti syarikat atau individu.  Jika syarikat atau individu merasakan tahap hutang mereka terlalu tinggi, lalu memulakan langkah penjimatan dan mengurangkan hutang, manfaatnya mereka sendiri yang terima menerusi lembaran imbangan lebih kukuh.

Kesan tindakan mereka tidak cukup besar untuk menganggu ekonomi keseluruhan (mungkin pembekal terjejas dan paling teruk pemberhentian pekerja yang spesifik kepada syarikat).

Tetapi jika Kerajaan mengambil langkah yang sama, kesannya ke atas ekonomi agak besar kerana perbelanjaan kerajaan mencetus kesan pengganda terhadap ekonomi.

Biasanya dasar Kerajaan terhadap ekonomi bersifat counterrcyclical, iaitu jika ekonomi sedang lemah, perbelanjaan ditingkatkan.

Perbelanjaan kemudian boleh dikurangkan dan penjimatan dilakukan apabila enjin ekonomi sudah boleh bergerak sendiri. Tapi langkah melakukan penghematan dalam keadaan ekonomi lemah akan menimbulkan kesan yang kita rasai sekarang.

Tidak dinafikan banyak masalah hutang ditimbulkan oleh pentadbiran terdahulu. Tetapi pada pendapat peribadi mungkin langkah penghematan boleh dilengahkan dan hutang boleh dikekalkan sahaja di tahap semasa sambil tidak menghentikan perbelanjaan, sebaliknya berbelanja dengan lebih bijak,

Mungkin inilah yang telah disedari oleh Kerajaan dengan penyambungan ECRL dan Bandar Malaysia. Tetapi kesannya mengambil masa untuk trickle down dan dirasai oleh syarikat-syarikat dan pekerja syarikat yang terlibat.

Setakat yang saya tahu, sekiranya hutang masih dalam RM, kita masih mempunyai kawalan terhadap hutang (monetary soverignity), dan tiada risiko default kerana dalam keadaan terdesak kita boleh mencetak wang untuk membayar hutang.

Ini mungkin menimbulkan inflasi, tetapi inflasi kita pada tahap rendah, malah negatif pada awal tahun ini.

Kemudian bila ekonomi sudah mula pulih dan keluar dari rumah sakit, bolehlah ambil langkah untuk beransur-ansur kurangkan hutang.

(Ini hanyalah pandangan peribadi sahaja)

_____________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *