Bukan Semua Saham Boleh Teruskan Pertumbuhan

Baru-baru ini dua saham yang saya perhatikan telah jatuh harganya sehingga memasuki buy range saya. Satu daripadanya ialah saham pengeluar pakaian tempatan dengan jenama kukuh yang pernah hot satu masa dulu dan juga syarikat pengeluar fail yang juga mempunyai jenama terkenal.

Kedua-dua syarikat mempunyai cashflow kukuh dan pengurusan yang hebat.  Sebab harga saham jatuh ialah kerana keuntungan merosot sejak setahun dua ini.  Suasana perniagaan memang kurang baik.

Tetapi sebelum pelabur boleh membuat andaian bahawa apabila ekonomi pulih syarikat akan kembali meneruskan pertumbuhan untung, beberapa perkara perlu dipertimbangkan. Bukan semua syarikat yang sahamnya turun akan kembali naik seperti dulu.

Dunia sekarang sedang mengalami perubahan besar. Cloud computing dan online shopping kini semakin berleluasa. Banyak syarikat yang terjejas sedangkan industri lain mula bangkit.

Dalam kes pengeluar fail tadi, persoalannya ialah dalam era cloud sekarang adakah syarikat-syarikat dan juga individu masih menyimpan salinan kertas.  Memang masih ada dan sentiasa ada tetapi pasti beransur-ansur kurang.

Jadi bolehkah mereka mencapai pertumbuhan sedangkan penggunaan fail mereka akan mendatar?

Manakala dalam kes syarikat pengeluar pakaian tadi pula, strategi utama mereka ialah gedung retail. Bolehkah mereka bersaing dalam era online Shopee dan Lazada di mana saya pun dah biasa beli pakaian dalam talian, yang membuka ruang bagi lebih ramai pesaing.

Saya telah meminta isteri saya (yang memang pakar membeli online) menyemak sama ada syarikat tersebut ada direct presence di pasaran-pasaran online utama tapi masih belum nampak lagi. Sedangkan syarikat gergasi seperti Nestle sendiri pun sudah ada  di pasaran-pasaran tersebut.

Walau apa pun, syarikat pengeluar pakaian ini, jika mahu, boleh merangka strategi online dalam masa singkat jika dirasakan perlu.

Tetapi bagi syarikat pengeluar fail, fundamental bisnes mereka tergugat, walaupun bisnes tersebut tidak akan lenyap kerana kertas dan fail akan sentiasa diperlukan.

Sebab itu ia terpaksa menceburi perniagaan baru untuk mencapai pertumbuhan, tetapi ia memerlukan masa yang agak lama untuk berkembang.

Apa yang ingin saya terangkan ialah kadangkala semua analisis data kewangan masa lalu yang sofistikated, tepat dan jitu mungkin kurang berharga berbanding keupayaan mengkaji dan meramalkan dinamik dan permintaan perniagaan pada masa depan, walaupun hanya anggaran kasar dapat dibuat.

Situasi perniagaan sentiasa berubah dan keuntungan masa lepas mungkin tidak memberikan gambaran tepat potensi dan prestasi syarikat pada masa depan.

Pelabur yang bijak meramalkan situasti perniagaan dalam suasana sentiasa berubah dan tidak pasti berpotensi mencapai untung lebih besar daripada pelabur yang bergantung semata-mata kepada prestasi kewangan masa lepas.

_____________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *