Monopoli Boleh Berkubur Dengan Cara Tidak Diduga

Baru-baru ini saya telah menghentikan langganan Astro (dan menggunakan NJOI). Sebabnya ialah tiada siapa lagi yang menonton TV di rumah kecuali sekali-sekala. (Saya memang peminat bolasepak tetapi sejak Arsenal makin lemah, saya pun dah malas nak tengok).

Zaman di mana Astro boleh menaikkan harga langganan atas budi bicara sendiri sudah pun berakhir. Bisnes yang dianggap monopoli ini masih merupakan monopoli, tetapi pesaing telah menggugat dengan cara lain.

Pesaing Astro sekarang ialah perkhidmatan yang disediakan menerusi Internet. Antaranya termasuk Netflix, Youtube, Facebook, Instagram dan yang sewaktu dengannya. Android Box dan Smart TV juga membolehkan Internet dilayari menggunakan TV.

Anak bungsu saya contohnya tidak faham mengapa kita perlu tunggu waktu tertentu baru boleh menonton rancangan yang dikehendaki. Di Youtube anda pilih apa yang nak ditonton, bila-bila masa.

Keputusan suku tahunan terbaru Astro menunjukkan peningkatan untung. Tetapi jangan terpedaya kerana hasil (revenue) telah menyusut kerana bilangan pelanggan semakin berkurangan. Untung bertambah kerana Astro berjaya mengurangkan kos kandungan dan kakitangan.

Tetapi ini berkesan hanya untuk jangka masa tertentu sahaja. Untuk berkembang, Astro perlu meningkatkan hasil juga akhirnya, dan bukan sahaja mengurangkan kos.  Jadi kita perlu tunggu dan lihat sama ada mereka boleh meningkatkan hasil iklan atau menambah jualan daripada NJOI Prepaid.

Pendek kata keupayaan orang ramai untuk melayari web dengan pantas menerusi telefon dan peranti lain bukan sahaja telah menggugat banyak industri runcit, tetapi juga syarikat seperti Astro.

Sekarang ini pencipta kandungan mempunyai pilihan untuk tidak menjual kandungan mereka kepada saluran, sebaliknya menerbitkan sahaja di Youtube atau Facebook dan cuba menjana hasil menerusi iklan di sana.  Contohnya Mark Angel Comedy dari Nigeria yang mempunyai berjuta pengikut.

Dalam dunia hari ini, sebarang monopoli tidak dijamin dapat bertahan, kerana pesaing boleh muncul bukan sahaja dari dalam, tetapi dari luar menerusi perkembangan teknologi.

Jadi sekarang kalau Astro buat keputusan untuk naikkan harga, tak ramai yang akan melenting, mereka akan potong sahaja perkhidmatan.

______________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *