Dapat Bonus Tetapi Nilai Saham Tetap Sama

Apabila sesuatu syarikat mengumumkan saham bonus, nampak seperti ganjaran menarik bagi pemegang saham. Tetapi jangan terlalu teruja. Pengumuman bonus sebenarnya tidak meningkatkan nilai saham syarikat.

Jika pemberian saham bonus diisytiharkan, ini bermakna syarikat akan mempermodalkan rizab/untung tertahan syarikat untuk menerbitkan saham bonus tersebut.  Maksudnya modal saham bertambah tetapi nilai rizab/untung tertahan akan dikurangkan.

Walaupun bilangan saham anda bertambah, tetapi nilai yang diwakili oleh setiap saham berkurangan secara sekadar dengan pertambahan saham tersebut.

Contohnya, katakan sebuah syarikat mengisytiharkan terbitan bonus tiga saham untuk setiap satu saham dipegang.  Ini bermakna jika anda memegang 1,000 saham, selepas terbitan anda akan memiliki 4,000 saham.

Tetapi dengan adanya lebih banyak saham dalam edaran, nilai aset bersih sesaham (NAB) akan berkurangan sekadar dengan bilangan saham baru yang diterbitkan.

Jika dulu NAB sesaham ialah RM4, selepas terbitan bonus, ia akan jatuh kepada RM1 kerana terdapat lebih banyak saham dalam edaran.

Pendapatan sesaham (EPS) juga akan berkurangan pada kadar yang sama, iaitu jika dulu 40 sen, kini EPS hanya 10 sen.

Jadi jika tiada kesan terhadap nilai, mengapa berikan terbitan bonus? Mungkin ada satu dua manfaat, termasuk menjadikan saham lebih mudah dibeli oleh pelabur kecil.  Jika dulu satu lot (100 saham) ialah RM400, sekarang satu lot boleh dibeli dengan RM100.

Tetapi dari segi nilai, tiada perubahan terhadap nilai syarikat, dan jika harga naik buat sementara selepas pengumuman, ia mungkin berlaku kerana kesan psikologi terhadap pelabur.

Harga saham turut dilaraskan untuk mengambil kira jumlah saham yang lebih besar ini. Untuk memberikan gambaran situasi sebenar, lihat contoh terbitan bonus Apex Healthcare di bawah. Harga saham selepas terbitan bonus ialah satu perempat daripada harga asal.

Sumber: Laman web Bursa Malaysia

Sebenarnya nilai sesuatu syarikat hanya dipengaruhi oleh keuntungan (atau aliran tunai) semasa, keuntungan (aliran tunai) masa depan dan juga faktor-faktor yang lain yang berkaitan dan berpotensi mengubahnya.

Selain itu ia juga mungkin dipengaruhi oleh dividen tunai yang dibayar, tetapi dividen juga bergantung kepada keuntungan atau aliran tunai.

Maka untuk menentukan nilai sesebuah syarikat, pelabur harus fokus pada faktor asas dan tidak beralih tumpuan kepada proses seperti terbitan bonus atau pecahan saham (yang memberikan kesan lebih kurang sama tetapi menggunakan ‘accounting treatment’ berbeza).

______________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *