Minggu Yang Tidak Stabil Bagi Pasaran

Pasaran saham dunia terumbang-ambing minggu lepas, apabila Dow Jones Industrial Index (DJIA) dan S&P 500 turun naik dengan ketara. Pada pertengahan minggu, indeks DJIA jatuh sebanyak 800 mata. Pasaran tempatan juga terjejas selepas menjunam di bawah paras 1600.

Banyak faktor yang menimbulkan kejutan termasuk perang dagangan berlarutan antara AS-China, protes di Hong Kong, kekalahan parti pro perniagaan di Argentina dan potensi Brexit tanpa perjanjian. Namun faktor yang paling mempengaruhi pasaran ialah yield curve inversion, atau penyongsangan kadar hasil di AS dan juga Britain.

Penyongsangan kadar hasil berlaku apabila apabila kadar bon perbendaharaan 2 tahun AS adalah lebih tinggi daripada kadar 10 tahun (biasanya kadar jangka panjang lebih tinggi daripada jangka pendek).

Saya ada menulis tentang perkara ini beberapa bulan lepas dan artikel tersebut telah disiarkan di Majalah Labur, yang dikongsi kembali di laman FBnya tiga hari lepas.

Biasanya apabila Yield Curve Inversion muncul, ia merupakan petanda akan berlaku kemelesetan bagi Amerika dalam tempoh 6 – 12 bulan akan datang dan jika Amerika mengalami masalah pasti kesannya dirasai di seluruh dunia. Tetapi keadaan mungkin berbeza sedikit kali ini.

Salah satu faktor bagi episod penyongsangan terbaru mungkin kadar faedah negatif di beberapa negara termasuk Jerman dan Jepun (lihat Rajah). Justeru keadaan kali ini tidak semestinya menjadi petanda kemelesetan akan berlaku di AS.

Dipetik daripada majalah The Economist.

Tetapi jika penyongsangan ini berterusan untuk beberapa minggu selanjutnya, barulah pelabur perlu betul-betul bimbang.

Satu lagi faktor yang perlu diambil kira ialah Trump boleh membuat U-turn pada bila-bila masa, iaitu berbaik semula dengan China, sepantas satu dua tweet, dan pasaran AS dan juga China kemungkinaan besar akan melantun kembali jika ini berlaku.

Trump amat sensitif kepada kejatuhan pasaran saham. Jika pasaran jatuh beliau akan mengambil tindakan kerana bimbang tentang peluangnya dalam pilihanraya presiden tahun depan.

Di Malaysia pula BNM mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan mengatasi jangkaan pada Suku 2 2019, dengan pertumbuhan 4.9%. (Ini perkembangan positif dan akan dibincangkan pada artikel seterusnya).

Memang masih banyak masalah lain dalam suasana global yang mengatasi faktor positif tetapi seperti yang saya tulis sebelum ini, pada pandangan saya kitaran Malaysia berbeza dari negara lain berada di peringkat akhir downcycle dan akan menjadi antara yang pertama untuk mengukuh selepas kemelut semasa berakhir.

Tetapi dengan syarat bahawa ahli-ahli politik kita tidak membuat kacau atau mengambil tindakan yang boleh menakutkan pelabur dan peniaga.

_________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *