Penggabungan Celcom dan Digi: Tak Jadi Mungkin Lebih Baik

Apabila penggabungan Axiata (Celcom) dan Telenor (Digi) dibatalkan, harga saham kedua-duanya jatuh. Seolah-olah pelabur hampa dan menganggap megamerger ini sesuatu yang positif untuk kedua-duanya. Realitinya ialah tiada kepastian bahawa penggabungan ini akan berjaya. Malah manfaatnya kepada masyarakat lebih luas memang patut dipertikaikan.

Pada pendapat saya, penggabungan ini tidak semestinya positif kerana:

  1.  Jumlah pesaing di pasaran akan berkurangan
  2. Entiti tergabung ini mempunyai lebih kuasa menetapkan harga kerana persaingan makin kurang
  3.  Sinergi yang diuar-uarkan mungkin hanya ilusi
  4.  Banyak pekerjaan akan lenyap atas nama ‘efficiencies’
  5.  Penggabungan melibatkan kos wang dan kos insan yang hanya dikesan selepas proses selesai

Mengenai pekerjaan yang hilang, adalah mustahil untuk memastikan penggabungan dua syarikat dalam sektor yang sama berjaya mencipta ‘nilai’ untuk pemegang saham tanpa mengurangkan bilangan pekerja, kerana pasti ada duplikasi tugasan dan inilah caranya untuk mengurangkan kos.

Saya bukan pakar M&A, tetapi hanya menulis dari perspektif seorang pelabur dan pelanggan. Bagaimanapun, cuba pertimbangkan pandangan daripada Tom Peters, seorang perunding pengurusan dan penulis terkenal dalam bukunya The Little Big Things:

In 9 cases out of 8 big mergers…sucks. In 9 out 7, they provide little imagined ‘synergistic value’ and destroys lots and lots of ‘actual value’ along the way, along with thousands and upon thousands of jobs.

Terjemahan: Dalam 9 kes daripada 8, penggabungan syarikat besar tak bermanfaat. Dalam 9 daripada 7 kes, ia menghasilkan begitu sedikit nilai sinergi dan memusnahkan nilai sebenar, dan pada masa yang sama melenyapkan beribu-ribu pekerjaan

Mungkin dia exaggerate atau menjadikan cerita lebih dramatik daripada sebenar tetapi itulah pandangan dan pemerhatiannya tentang penggabungan syarikat besar.

Begitu juga satu kajian pada 2001 oleh Gunther Tichy dalam Journal of Industry, Competition and Trade  yang menyimpulkan bahawa:

Tidak lebih daripada 1/4 penggabungan meningkatkan kebajikan pengguna, 1/4 lagi meningkatkan untung tetapi merugikan pengguna; separuh daripada penggabungan mengurangkan nilai firma. Pemegang saham syarikat diambil alih untung, manakala pemegang saham syarikat yang membeli pulang modal dalam jangka pendek, tetapi umumnya rugi dalam jangka jangka panjang.

Seperti yang  dilaporkan di akhbar, di atas kertas penggabungan ini ada manfaatnya termasuk skala untuk bersaing di pasaran asing, tetapi sama ada ia membawa nilai sebenar kepada pemegang saham kita tidak tahu.

Di samping itu, kemungkinan besar ia akan mengurangkan pekerjaan dan memberikan kuasa pasaran yang berpotensi merugikan pengguna.

—————–

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *