Emas dalam Portfolio Sebagai Lindung Nilai

Hujung minggu lepas saya telah meluangkan masa meninjau pandangan para pelabur dan pakar yang saya hormati tentang keadaan ekonomi semasa.  Satu kesimpulan yang dapat saya buat ialah pandangan mereka rata-rata berada pada julat antara sedikit negatif dan sangat negatif.

Dari segi apa yang patut dilakukan, rumusannya ialah perlu ada sekurang-kurangnya sedikit emas atau logam berharga dalam portfolio pelaburan kita sebagai lindung nilai (hedge). Sebabnya ialah beberapa Bank Pusat telah menurunkan kadar faedah ke paras negatif, dan baru-baru ini Rizab Persekutuan AS pula mula menurunkan kadar faedah.

Pandangan pakar-pakar tersebut ialah mengenai pasaran AS dan global, tetapi ia relevan kepada kita kerana apa yang berlaku sudah tentunya akan mempengaruhi pasaran Malaysia. Berikut adalah ringkasan yang diperolehi daripada pandangan mereka:

Ray Dalio (pelabur billionaire dan ketua pegawai eksekutif Bridgewater Associates) – berasaskan model ekonominya, kitaran perkembangan di AS akan berakhir pada 2020. Seharusnya ada emas dalam portfolio sebagai lindung nilai

Mohamad El-Erian (ketua penasihat ekonomi Allianz dan bekas CEO PIMCO) – Eropah mempunyai kadar negatif dan akan turun lebih rendah. Bank Pusat Eropah akan memulakan QE (pengembangan kuantitatif).  Di US pula, tiada kemelesetan tahun ini tetapi pasaran saham akan menjadi lebih volatile.

Jeffrey Gundlach (Pengasas Double Line Capital) – Pada 1980an, pasaran Jepun paling hangat tetapi 30 tahun selepas itu masih belum mencapai tahap tertinggi pada era tersebut. Kemudian pasaran Eropah hangat selepas permulaan mata wang Euro pada alaf baru tetapi kini tidak mencapai tahap tertinggi zaman itu selama 20 tahun. Pada kemelesetan seterusnya, kemungkinan perkara sama akan berlaku kepada pasaran AS. Ramalan beliau ialah 12 bulan akan datang.

Warren Buffett, Charlie Munger dan Bill Gates – sepatutnya pada kadar faedah semasa, saham boleh dianggap murah, tetapi ada sesuatu yang tak kena dalam hubungan antara kadar faedah dan pemboleh ubah lain. Seolah-olah kita berada di dunia impian di mana kita boleh mencetak seberapa banyak wang tanpa kesan inflasi, tetapi ada sesuatu yang tak kena.

David Rosenberg (Ketua Ekonomi dan Strategi Gluskin Shieff) – Ekonomi AS akan mengalami kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang dan emas akan melonjak.

Jim Rogers (Pengasas Bersama Quantum Fund bersama George Soros)- Kemelesetan seterusnya (di AS) akan menjadi kemelesetan paling teruk yang pernah berlaku.  Rogers meramalkan ia berlaku pada 2018, tetapi tak menjadi kenyataan. Ramalan terbarunya ialah akhir tahun ini atau tahun depan

Michael Burry (Pelabur yang meramalkan kejatuhan housing bubble dan watak utama dalam filem The Big Short) – Terdapat bubble dalam indeks-indeks di AS disebabkan kaedah pelaburan pasif di mana terlalu ramai pelabur kini memasukkan wang dalam Dana Indeks Pasif yang menjejak indeks seperti S&P 500 tanpa mengetahui nilai sebenar sahamnya. Tetapi Burry tidak tahu bila ia akan meletup.

Frank Giustra (Presiden dan CEO Fiore Group of Companies, seorang pelabur billionnaire) – Saya tidak memiliki sebarang saham di AS dan sedang dalam proses kembali menggiatkan pelaburan dalam emas dan syarikat berkaitannya.

Satu lagi perkara yang dipersetujui oleh ramai pakar, hutang AS mungkin sudah mencapai ke tahap yang amat membimbangkan.

Saya sengaja tidak mengambil pandangan permabears (penganalisis yang sentiasa negatif) seperti Nouriel Roubini atau Peter Schiff untuk mengelakkan bias.

Perlu diingat, ramalan di atas adalah berkenaan dengan pasaran AS dan Global, tetapi pasti ada implikasi terhadap pasaran Malaysia. Lazimnya penurunan kadar faedah adalah baik bagi saham, tetapi menurut beberapa pakar, kali ini sedikit berbeza.

Tapi tidak kira sama ada pasaran saham global akan turun atau naik, yang pasti ialah kadar faedah semakin rendah dan QE (Pengembangan Kuantitatif) akan diteruskan.  Ini bemaksud dasar wang longgar dilaksanakan di seluruh dunia.

Biasanya apabila dasar wang semakin longgar, logam berharga semakin mengukuh. Kita tunggu dan lihat perkembangan seterusnya.

Bagi Malaysia, jika berlaku kemelesetan global, saya ulangi pandangan saya bahawa kita akan pulih lebih awal sebab kitaran kita berbeza daripada Amerika.

Nota:

1. Pandangan pakar di atas mungkin salah, seperti yang dilihat daripada ramalan Jim Rogers.

2. Jika anda dah lama ikuti tulisan saya, anda tahu yang saya bukan peminat emas. Tetapi emas atau logam berharga sebagai lindung nilai pelaburan ada manfaatnya.

____________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *