GST dan BR1M Dasar Fiskal Yang Berkesan

Dalam satu temu ramah 3 tahun lepas, pelabur billionaire tersohor Ray Dalio berkata akan sampai satu masa apabila Bank-Bank Pusat utama dunia akan menurunkan kadar faedah ke tahap terendah (ada yang negatif sekarang) dan melakukan pengembangan kuantitatif (QE) sehingga ia tidak lagi berkesan.

Satu-satunya cara untuk merangsang ekonomi apabila dua langkah di atas tidak berkesan ialah dengan meletakkan wang terus di tangan orang ramai (dasar fiskal). Ini mengingatkan saya tentang langkah DS Najib beberapa tahun lepas untuk memperkenalkan BR1M bagi golongan berpendapatan rendah.

Dasar tersebut dialu-alukan dan dikritik (dedak) pada masa yang sama, bergantung kepada sebelah mana anda.  Tetapi sebenarnya dasar tersebut memang satu dasar yang valid dan efektif, seiring dengan langkah memansuhkan subsidi minyak.

Sebab ia efektif (dan masih diteruskan sekarang) ialah

  1. Wang diberikan kepada golongan yang paling memerlukan, sekali gus membantu mereka
  2. Oleh kerana kedudukan ekonomi mereka, wang tambahan ini tidak disimpan sebaliknya dibelanjakan.
  3. Perbelanjaan ini boleh merangsang ekonomi secara langsung.

Semalam pula, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, Tan Sri Dr Kamal Salih berkata Malaysia patut mengembalikan GST.  Ini satu lagi tindakan fiskal efektif yang dilaksanakan yang disalah faham oleh banyak pihak.

Masalahnya ialah oleh kerana DS Najib terlibat dalam 1MDB, jadi semua yang dilakukan oleh beliau sebelum ini dianggap tidak betul.

Memang berasaskan perjalanan perbicaraan 1MDB, sukar untuk menafikan begitu banyak kepincangan (dan kemungkinan besar kesalahan di bawah undang-undang) 1MDB.  Tetapi lubang besar yang digali dengan 1MDB telah ditampung sedikit sebanyak dengan satu dua dasar fiskal yang bijak.

Apabila Kerajaan baru mengambil alih, lubang tersebut masih ada, tetapi dasar efektif yang ada untuk menampungnya telah diketepikan.

Kebanyakan kita hanya menilai seseorang itu sebagai baik atau jahat, betul atau salah. Tetapi kita sebagai manusia, termasuklah orang-orang berpangkat tinggi tak kiralah siapa, masing-masing ada kebaikan dan kejahatan, ada betul dan ada salah.

Di satu pihak, mereka nampak 1MDB dan kepincangan lain, maka kesimpulannya ialah apa yang dilakukan oleh DS Najib adalah semua salah.

Tetapi di sebelah lain pula, mereka melihat beberapa dasar efektif DS Najib dan juga fenomena bosku (yang saya juga suka tetapi sebagai hiburan sahaja) dan menganggap 1MDB dan kepincangan lain sebenarnya tidak berlaku. Walaupun segala keterangan setakat ini menunjukkan terlalu banyak yang tak betul.

Realitinya setiap manusia ada baiknya dan ada jahatnya. Cuma persoalannya adakah baiknya lebih atau jahatnya lebih?

Bagi saya, kita perlu rasional dalam melaksanakan dasar ekonomi demi kepentingan negara, tak kiralah idea asal datang dari mana.

Pautan video Ray Dalio: https://www.youtube.com/watch?v=UBXjlNNNFus

Pautan artikel MIER: https://www.kosmo.com.my/terkini/kerajaan-digesa-perkenal-semula-gst-dalam-belanjawan-2020-1.979632

___________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

Author: razali

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *