Syarikat Pelancongan Tertua Dunia Thomas Cook Gulung Tikar Akibat Hutang

Beberapa minggu lepas, Thomas Cook, syarikat pelancongan tertua di dunia yang diasaskan pada 1841 telah dibubarkan apabila gagal menyusun semula hutang.  Tanggungannya berjumlah kira-kira $2 billion. Syarikat mempunyai berpuluh ribu kakitangan yang kini kehilangan kerja.

Hutang yang dikumpulkan Thomas Cook timbul daripada pemerolehan dan penggabungan yang gagal, antaranya dengan sebuah syarikat bernama MyTravel yang hanya pernah mencatatkan untung satu daripada 6 tahun. Di samping itu, trend perubahan orang ramai menempah terus menerusi Internet juga menjadi salah satu punca.

Tetapi yang menariknya ialah TUI, sebuah syarikat pesaing, juga menghadapi trend yang sama, tetapi kesan bagi mereka hanyalah untung yang berkurangan dan bukannya penutupan operasi kerana tahap hutangnya jauh lebih rendah.

Peristiwa muflis kerana hutang juga boleh dijadikan pengajaran bagi kewangan individu. Terutamanya bagi yang membeli aset menggunakan hutang atau leverage pada kadar yang amat tinggi, ada yang sehingga 100% atau lebih.

Di peringkat awal kitaran kenaikan, strategi ambil hutang sebanyak yang mungkin berpotensi membuahkan hasil kerana harga aset terus naik.  Untung yang dicapai mungkin berlipat kali ganda berbanding modal dilaburkan.

Jika timbul masalah cashflow sekalipun, ia boleh diselesaikan dengan penjualan aset kerana harga aset telah naik dan ada banyak pembeli.

Masalah mula timbul apabila harga aset sudah naik selama beberapa tahun. Ramai yang mula melihat ada orang yang buat duit dengan cara ini di peringkat awal dan menghebahkannya.

Mereka mula tertarik dengan strategi risiko tinggi ini dan membuat unjuran harga aset akan naik secara berterusan, berasaskan trend beberapa tahun terkini.

Masalah mula timbul apabila kitaran kenaikan berakhir.  Jika masalah cashflow timbul pada waktu ini, maka penjualan aset terpaksa dibuat pada harga yang lebih rendah.  Keadaan menjadi lebih teruk jika sukar mendapatkan pembeli.

Jika tiada margin of safety semasa mengambil pinjaman, mungkin timbul pula situasi penjualan aset tidak dapat menjelaskan sepenuhnya hutang.  Kesannya ialah masalah kewangan serius atau muflis.

Semasa melaksanakan pemerolehan atau penggabungan dengan syarikat lain yang melibatkan pembiayaan hutang, Thomas Cook kemungkinan besar mengunjurkan peningkatan aliran tunai, sinergi dan pertambahan nilai syarikat yang diambil alih.

Tetapi perkara sebaliknya telah berlaku pelaburan tersebut akhirnya telah dihapus kira pada nilai $1 billion.

Berhati-hati dan pastikan terdapat margin of safety apabila membuat unjuran tentang kenaikan nilai atau pulangan daripada aset yang kita beli.

Lebih-lebih lagi jika pembelian dibuat menggunakan hutang.

_____________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

 

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *