Golongan Kaya Bertambah Kaya

Satu artikel di laman MarketWatch melaporkan bahawa golongan ultra kaya di AS kini bertambah kaya.  Berasakan data daripada Rizab Persekutuan AS, kumpulan 1% penduduk AS yang terkaya memegang aset bernilai $730 bagi setiap $1 aset yang dipegang oleh separuh penduduk termiskin. Maksudnya, golongan 1% yang paling kaya memegang 730 kali ganda aset golongan 50% yang termiskin (lihat graf).

Perkara yang lebih menarik ialah pada tahun 1990, jurang ini hanyalah lebih kurang separuh daripada keadaan semasa. Maksudnya ialah golongan terkaya 1% telah meningkatkan jurang kekayaan dengan ketara dalam tempoh hampir 30 tahun lepas.

Golongan 9% teratas (90 – 99%) yang seterusnya pula memegang 87 kali ganda aset yang dipegang oleh golongan 50% terbawah, manakala penduduk dalam julat 51% – 90% di atas pula memegang aset $13.4 bagi setiap $1 yang dipegang oleh golongan 50% yang termiskin.

Faktor utama yang mempengaruhi jurang ini ialah dasar wang longgar yang telah meningkatkan nilai aset seperti saham, yang sebahagian besar dipegang oleh golongan terkaya, di samping kenaikan pasaran hartanah.

Menurut penulis artikel, kekayaan dan ‘pembangunan ekonomi’ yang tempiasnya tidak dirasai oleh golongan bawah (trickle down) di serata dunia menjadi punca tidak langsung protes di beberapa tempat dunia, termasuk Chile, Ecuador, Argentina, Hong Kong dan Lebanon.

Walaupun tiada data seperti di atas di Malaysia, satu kajian oleh Khazanah yang dilaporkan di The Star juga menunjukkan jurang kaya miskin meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua dekad lepas

Fenomena ini menunjukkan bahawa dalam keadaan di mana berlaku kenaikan harga aset, yang menang sudah tentunya pemilik aset yang mendapat manfaatnya. Dan pemilik aset ialah orang kaya.

Di AS, antara langkah yang disyorkan untuk merapatkan jurang oleh salah seorang potensi calon Presiden, iaitu Elizabeth Warren, ialah mengenakan cukai kekayaan. Tidak pasti sama ada ini boleh mengimbangi keadaan tetapi para pemilik modal dan usahawan amat takut dengan kebangkitan beliau.

Walau apa pun usaha di peringkat kerajaan untuk merapatkan jurang miskin kaya, langkah mengurangkan harta orang kaya belum tentu akan menguntungkan atau meringankan beban orang yang kurang berkemampuan.

Jika anda berada di paras 50% di bawah, cara untuk mengubah nasib anda ialah berusaha meningkatkan pendapatan, menabung, menukarkan sebahagian tabungan menjadi aset yang menjana pulangan dan mewujudkan sumber kedua untuk meningkatkan taraf hidup anda, iaitu menerusi pulangan daripada aset yang dimiliki.

Nota:

1. Bila saya sebut aset, maksud saya ialah aset yang menjana pulangan atau meningkat nilai, bukannya kereta!

2. Bagi umat Islam, sudah ada  wealth tax, iaitu zakat pada 2.5% yang dikenakan ke atas banyak jenis aset, walaupun bayaran di Malaysia masih berbentuk sukarela sedangkan ia sebahagian daripada rukun Islam.

____________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *