Pasaran Malaysia Murah Dari Segi Harga Tapi Tidak Dari Segi Nilai

Semalam ada artikel Bloomberg yang dipetik oleh beberapa media tempatan yang mendakwa pasaran saham kita semakin murah tetapi tiada siapa yang mahu beli. Malah artikel ini juga dipetik oleh para penulis politik untuk mengetengahkan kelemahan semasa.

Saya nak ulas dari sudut pelaburan pula. Persoalannya ialah adakah pasaran kita ‘murah’?  Pada pendapat saya,  ya murah dari segi harga tetapi bukan dari segi nilai (seperti yang didakwa dalam artikel). Jika pendapat saya yang betul, keadaan sedikit lebih negatif daripada yang digambarkan oleh para penulis politik!

Artikel Bloomberg tersebut menyatakan harga saham-saham Malaysia diperdagangkan secara purata 1.5 kali nilai buku/nilai aset bersih atau book value.  Jadi kalau nilai diukur dari segi harga berbanding nilai buku, valuation saham nampak murah.

Tetapi sebahagian besar pelabur membeli bukan kerana nilai aset bersih, yang dalam kebanyakan kes tidak begitu penting kerana saham bukan unit amanah. Pelabur melabur dalam sesuatu perniagaan kerana untung atau potensi untung dan itulah ukuran sebenar prestasi syarikat.

Dalam artikel tersebut, earnings atau jangkaan paras untung telah dikurangkan sebanyak 12% oleh para penganalisis.  Jadi kalau harga semakin rendah, tetapi untung semakin merosot, maknanya valuation saham tidaklah ‘murah’.

Malah, pada bulan Jun lepas HSBC mengulas bahawa penilaian saham Malaysia masih mahal walaupun indeks pada waktu itu juga berada lebih kurang pada paras 1600.

Jika kita lihat nisbah harga pendapatan P/E ratio semasa (lihat graf), PE bagi saham-saham dalam Indeks FBM KLCI ialah 19.  Kalau tak silap purata jangka panjangnya ialah 16 – 17 sahaja. Angka lebih tinggi daripada purata bukannya murah.

Mengapa saham tidak murah walaupun harga telah jatuh? Ini kerana syarikat-syarikat di Malaysia mencatatkan untung yang kurang memuaskan, banyak juga yang menyusut untungnya dan potensi pertumbuhan untung juga kurang baik buat masa ini.

Jadi jika artikel tersebut betul dan saham sekarang murah dan masalahnya terhad kepada itu sahaja, maka perubahan sentimen (atau mungkin pemimpin) akan melonjakkan harga saham.

Tetapi jika harga sahaja nampak murah tetapi saham sebenarnya mahal dari segi nilai, faktor yang diperlukan untuk menaikkan harga saham bukan sahaja perubahan sentimen tetapi juga peningkatan untung yang memuaskan oleh syarikat-syarikat tersenarai.

Jadi masalah kita bukan sahaja sentimen semasa akibat ketidakpastian politik dan sebagainya, tetapi lebih bersifat fundamental, iaitu untung yang kurang menyerlah.

Cuma ‘harapan’ saya ialah memandangkan kita sudah lama mengalami kemelut dengan indeks pasaran yang tidak ke mana sejak 2013, kitalah yang paling awal recover jika berlaku kemelesetan global pada 2020.  Diharapkan harapan ini bukan harapan kosong.

____________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *