Pulangan ASB Rendah – Salah Siapa?

PNB telah mengumumkan kadar agihan yang terendah bagi ASB – dividen 5.0% dan bonus 0.5%. Persoalan utama yang diperbahaskan ialah siapa yang salah? Sasaran utama kemarahan ialah Kerajaan PH, dan bukan pengurusan ASNB, kerana jika dibandingkan dengan Indeks KLCI dan pelbagai pelaburan lain, prestasi perbandingannya memang baik.

Bolehkah kita salahkan Kerajaan PH? Pada pendapat saya, ya tetapi bukan secara keseluruhan. Faktor utama ialah ketiadaan hala tuju jelas dari segi politik dan juga ekonomi, termasuk ketidakpastian tentang pucuk pimpinan masa depan. Tetapi ada faktor lain yang menyumbang kepada kelemahan pasaran saham dan suasana perniagaan.

Malaysia sebenarnya sedang mengalami masalah struktur. PH mahu memenuhi kehendak rakyat biasa dalam hal tertentu tetapi dalam pelaksanaan tersebut menjejaskan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan syarikat lain, sekurang-kurangnya untuk jangka pendek.

Contohnya, kita tidak mahu kebanjiran pekerja asing di Malaysia. Tetapi kekurangan pekerja asing ialah salah satu faktor yang menjadi kekangan bagi banyak syarikat untuk menerima pesanan tambahan atau meningkatkan hasil.

Dalam perang dagangan antara China dan AS, banyak syarikat yang mahu berpindah keluar dari China atau membuat pesanan dari Asia Tenggara untuk mengelakkan tarif.

Syarikat perabot Malaysia contohnya mahu mengambil kesempatan ini tetapi tidak cukup pekerja untuk menerima tempahan tambahan, tetapi syarikat-syarikat di Vietnam boleh menerima bisnes tambahan ini kerana mereka ada cukup pekerja bawahan yang sanggup bekerja.

Ini hanyalah satu daripada contoh dan masalah yang lebih kurang sama turut dihadapi industri lain. Jadi langkah mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing akan dirasai dalam jangka pendek dan juga sederhana.

Satu lagi tindakan mengurangkan harga langganan jalur lebar. Kesannya ialah kejatuhan harga TM. Saya dan pelanggan TM lain berjimat kerana penurunan harga. Tetapi pemegang saham TM, antaranya merupakan institusi besar, telah mengalami kerugian kerana tindakan ini.

Jadi dalam jangka pendek pelabur akan rugi. Mereka yang tidak melabur dalam pasaran saham juga rugi kerana hampir semua orang ada kepentingan dalam KWSP, ASB atau TH.

Seterusnya ialah gaji minimum yang ditetapkan Kerajaan. Kita tidak boleh nafikan bahawa gaji minimum adalah inisiatif yang bagus untuk pekerja.  Tetapi bagi banyak syarikat, terutamanya syarikat kecil yang sedang nazak dengan situasi ekonomi tempatan dan global, perkembangan ini kurang positif.

Kesannya ialah syarikat-syarikat mungkin mengecilkan operasi atau ada syarikat yang tutup kedai, menimbulkan kesan negatif buat sementara waktu.

Akhir sekali yang saya sentuh ialah pasaran hartanah kita, di mana terdapat lebihan penawaran. Lebihan stok kediaman ini bukan bermula pada zaman kerajaan PH tetapi sebelum itu. Tetapi kesannya dirasai sekarang. Industri hartanah akan mengambil masa untuk pulih.

Jadi ada banyak faktor, ada yang dilakukan dengan niat baik untuk rakyat biasa, yang menyebabkan kekangan kepada pelaburan dan perniagaan. Semua faktor ini di samping kemelut politik menimbulkan suasana yang agak suram.

Apabila kapal terbang terhempas, jarang ia berpunca daripada satu faktor. Pasti ada rentetan kejadian yang berlaku di mana kegagalan peralatan dan kesilapan manusia berlaku secara berturutan.

Begitu juga dunia pelaburan dan perniagaan kita. Ada pelbagai faktor yang menjadi penyebab kemelut semasa. Tetapi jika Kerajaan bertekad mahu melaksanakan reform yang menimbulkan kepedihan jangka pendek, kita perlukan tindakan bersepadu di peringkat atasan.

Kita perlukan ahli-ahli politik mengutamakan kepentingan Malaysia dan bukannya kuasa dan kepentingan peribadi.

_______________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *