Nilai Pasaran Berbanding Nilai Buku

Satu artikel dalam Star Bizweek semalam menyatakan bahawa nilai lima saham terbesar di Bursa Malaysia merosot sebanyak RM47 bilion (lihat gambar) pada 2019.  Ramai juga, terutamanya pelabur baru, akan terkeliru dengan kenyataan seperti ini. Kemerosotan nilai yang dimaksudkan di sini bukan kejatuhan nilai aset  dan juga tidak semestinya bermaksud syarikat mengalami kerugian.

The Star Bizweek

Sebaliknya nilai yang dimaksudkan ialah nilai pasaran. Nilai pasaran atau modal pasaran ialah harga saham x bilangan saham yang diterbitkan. Jadi bila harga saham jatuh, nilai pasaran akan jatuh. Kesimpulannya ialah nilai yang dimaksudkan di sini ialah nilai yang diberikan kepada syarikat oleh para pelabur pasaran menerusi jual beli saham syarikat.

Ini berbeza daripada nilai aset bersih syarikat tersebut, iaitu nilai semua aset ditolak semua liabiliti syarikat. Inilah nilai bagi syarikat dalam buku perakaunan syarikat.  Apabila syarikat mencatatkan untung, lazimnya nilai aset bersih syarikat akan meningkat selagi dividen yang dibayar kurang daripada jumlah untung yang dihasilkan pada tahun tersebut.

Lima syarikat yang dimaksudkan ialah Maybank, Public Bank, Tenaga, PetChem dan CIMB. Setakat ini semuanya mencatatkan untung. Jadi bagaimana nilai pasaran syarikat boleh turun? Sebab harga sahamnya jatuh.

Mengapa harga saham boleh jatuh sedangkan syarikat mencatatkan untung? Kerana sebelum ini harga saham telah naik berasaskan andaian bahawa syarikat akan mencatatkan tahap keuntungan lebih tinggi. Apabila andaian ini tidak ditepati, atau jika jangkaan pelabur terhadap untung masa depan adalah lebih rendah, harga saham mungkin jatuh.

Jadi apabila anda membaca headline seperti ini, jangan terus andaikan syarikat itu rugi, atau nilai sebenar musnah dan sebagainya. Memang dalam keadaan tertentu, harga saham jatuh kerana syarikat rugi. Tetapi ini tidak benar bagi semua kes.

Bagi lima syarikat ini, apa yang berlaku ialah mungkin keuntungan syarikat tidak seperti yang dijangka, menyebabkan harga jatuh dan nilai pasaran merosot. Tiada nilai sebenar yang musnah dalam situasi ini, hanya nilai pasaran.

Tetapi nanti dulu, kalau syarikat tak rugi, adakah sesiapa yang rugi? Ada, pelabur yang membeli pada harga saham yang tinggi dan yang menjualnya sekarang (kerugian direalisasi) atau yang masih memegang saham tersebut sekarang (kerugian atas kertas) sehinggalah saham tersebut naik kembali (jika naik).

___________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *