Virus Wuhan Satu Lagi Cabaran Kepada Ekonomi

Jika minggu lepas saya sentuh tentang bagaimana pengumuman tidak diduga boleh menyebabkan kejatuhan harga saham individu, kali ini kita dapat lihat bagaimana penularan virus dari Wuhan China turut menjejaskan pasaran saham, selain menimbulkan kesan besar ke atas kehidupan dan kesihatan manusia. (Setakat 30/1/2020: 170 kematian, Lebih 7,000 kes. Sumber CNN).

Mengapa pasaran dan ekonomi secara umumnya terjejas, sekurang-kurangnya dalam jangka pendek?

Ekonomi China kini merupakan gergasi dunia. 1/3 daripada syarikat Fortune 500, iaitu syarikat-syarikat terbesar dunia, mempunyai operasi di Wuhan. Bila berlaku kuarantin dan sekatan pergerakan, perniagaan tidak boleh berfungsi dan orang ramai mengurangkan perbelanjaan.

Ini bermakna rantaian bekalan syarikat-syarikat global akan terjejas. Google telah menutup semua pejabat di China, manakala Ikea telah menutup separuh daripada gedung di sana.

Pasaran produk dan komoditi tertentu juga mengalami kesan akibat pengurangan permintaan. Industri pengangkutan dan pelancongan turut terjejas, dengan begitu banyak pembatalan.

Langkah Air Asia menggantung penerbangan ke Wuhan dari beberapa destinasi sehingga 29 Feb menekankan betapa serius situasi. Malah British Airways telah menghentikan penerbangan terus ke China. Berapa banyak tempahan hotel yang dibatalkan dan hasil yang hilang.

Berbeza daripada pada masa berlakunya SARS pada 2003, pelancong China kini merupakan sumber hasil pelancongan besar bagi banyak negara, termasuk negara kita. Sekatan perjalanan di China dan sekatan masuk bagi pelancong dari wilayah tertentu di China akan sedikit sebanyak menjejaskan ekonomi.

Sebenarnya kesan sehingga kini belum lagi terlalu serius mungkin lebih kurang 1% daripada KDNK China, tetapi seperti yang pernah saya terangkan dalam artikel lain sebelum ini, apa yang tidak disukai oleh pasaran ialah uncertainty.  Masih belum ada kepastian bila wabak ini akan reda.

Kesimpulannya ialah kesan virus Wuhan terhadap ekonomi bergantung kepada berapa lama ia berlarutan. Lebih lama, lebih teruk.

Adakah kita akan melihat rebound bila kes selesai?

Secara teorinya ya. selagi wabak tidak berlarutan, kesannya kepada ekonomi tidak terlalu serius. Cuma kali timing wabak berlaku semasa ekonomi global dan juga Malaysia tidak begitu kukuh.

Tetapi jika wabak berpanjangan dan tidak dapat dibendung, ia berpotensi menimbulkan shock atau kejutan kepada ekonomi global.

Nota:

1,  Best case senario ialah penyebaran virus terhenti selepas sebulan dua. Aktiviti ekonomi kembali pulih seperti biasa, Kesan terhad kepada suku pertama 2020.

2.  Worst case senario. Wabak berlarutan hingga menjejaskan ekonomi dengan ketara dan kemudian menjelma menjadi krisis ekonomi.

3.  Syarikat yang paling banyak mendapat manfaat ialah pengeluar sarung tangan dan topeng.

4.  Kerajaan perlu berhati-hati apabila mempertimbangkan menutup sempadan kepada penduduk dari seluruh China, seperti yang didesak oleh ramai orang.  Patut atau tak patut saya tak tahu. Kesan ekonominya adalah jauh lebih besar berbanding menutup pintu kepada kawasan yang terbabit sahaja.

5. Tulisan ini hanyalah pandangan peribadi. Mungkin betul, mungkin salah.

_____________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *