Malaysia Hadapi Risiko Pertumbuhan Ekonomi Negatif

Berasaskan pemerhatian saya, Malaysia kemungkinan besar akan mengalami pertumbuhan ekonomi negatif pada suku pertama 2020. Definisi kemelesetan ialah pertumbuhan suku tahunan (quarter on quarter) bagi dua suku tahun berturut-turut.  Jadi untuk mengelakkan kemelesetan rasmi, mungkin tindakan segera perlu diambil untuk menampung kesannya pada suku kedua tahun.

Ada yang menganggap kemelut politik mungkin punca utama.  Tetapi faktor risiko paling tinggi bukan pada situasi politik tetapi Coronavirus (Covid-19). Masalah bagi Malaysia ialah kemelut politik telah melambatkan proses untuk bertindak balas terhadap kesan ekonomi ketara yang ditimbulkan oleh virus ini.

Pendek kata inilah masa yang paling tidak sesuai untuk mencetus pergelutan politik. The worst possible time.

Risiko Covid-19 bukan timbul daripada kadar kematian tinggi, kerana dari segi statistik kadar kematian lebih kurang 2% sahaja.  Tetapi kerana ia amat mudah berjangkit. Jadi kesan ekonomi akan timbul kerana usaha mengekang penyebaran menyebabkan aktiviti ekonomi dihentikan.

Walaupun situasi di China sekarang jauh lebih stabil, kejatuhan teruk Indeks Dow Jones di AS dua hari lepas ialah kerana pelabur mula sedar ia mungkin telah merebak secara global.

Di Iran contohnya, bilangan kematian di sana menunjukkan tahap sebaran adalah jauh lebih tinggi daripada angka rasmi.  Bukan semua negara boleh menguji dan bertindak balas seperti negara-negara dengan infrastruktur kesihatan lebih baik seperti di China, Jepun, Singapura dan Malaysia.

Jika anda tanya ramai ahli perniagaan di sini, anda mungkin boleh tahu betapa serius kesan ekonomi yang dihadapi.

Jadi saya rasa kita perlu menamatkan kemelut politik secepat mungkin dan mengambil tindakan segera.  Tak tahulah sama ada kita boleh mengelakkan kemelesetan dari segi perangkaan rasmi. Tetapi kita perlu sekurang-kurangnya menampung kesan negatif terhadap ekonomi.

Tindakan bersepadu dan segera perlu diambil. Bak kata orang putih “The clock is ticking”.

Nota:

  1. Tulisan ini hanya pandangan peribadi, mungkin betul atau salah.
  2. Saya sebut dari segi perangkaan rasmi kerana tak kira apa peratus KDNK, berasaskan pemerhatian saya (yang tak saintifik) ramai individu dan perniagaan sudah merasakan seperti ‘ekonomi’ mereka sudah meleset.

____________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *