Fokus Pada Data dan Pandangan Pakar Perubatan Tentang Virus

Dunia kini memasuki fasa sekatan. Sama ada sekatan aktiviti, sekatan perhimpunan, sekatan pergerakan, sekatan masuk, sekatan keluar atau pun sekatan penuh. Kesannya terhadap ekonomi global dan juga Malaysia kemungkinan besar amat ketara.

Semua unjuran ekonomi yang dibuat sebelum ini mungkin boleh diabaikan kerana kita memasuki situasi yang digambarkan oleh Bill Gates sebagai patogen yang muncul sekali dalam seabad.

Data bulan Februari dari negara China menunjukkan kemelesetan ketara sektor pembuatan, manakala eksport Singapura menyusut 4.8% pada bulan Februari.  Kita tahu bulan Mac adalah jauh lebih teruk bagi dunia.

Sekarang kita melihat capitulation di pasaran saham di mana ramai orang mahu cabut lari tetapi tidak ramai yang mahu membeli. Jika anda mempunyai tempoh masa pelaburan 3 hingga 5 tahun, kemungkinan besar anda boleh meraih untung pada harga sekarang dengan pemilihan saham teliti.

Bagaimanapun, kita perlu sedar bahawa dalam jangka pendek pergolakan (dan mungkin penurunan) pasaran akan terus berlaku sehingga penularan virus mencapai puncak (peak virus).

Berasaskan pemerhatian peribadi, Italy mungkin akan sampai ke puncak dalam tempoh terdekat, dan disusuli oleh negara-negara Eropah lain dan seterusnya diikuti oleh Amerika Syarikat. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat amat penting.

Lazimnya krisis kewangan menjelma menjadi kemelesetan ekonomi. Tetapi kali ini perkara sebaliknya berlaku. Krisis perubatan telah menyekat aktiviti ekonomi dan berpotensi menimbulkan krisis kewangan, sala satu sebabnya ialah paras hutang yang tinggi.

Jika tiada krisis kewangan menjelma, pemulihan boleh berlaku dengan pantas pada separuh kedua tahun.  Tetapi jika keadaan semasa menjelma menjadi krisis kewangan, pemulihan mungkin berlaku lebih lewat.

Apa yang perlu kita perhatikan sekarang ialah data penularan virus dan pandangan pakar-pakar perubatan, bukannya ramalan pakar ekonomi.

Satu perkembangan positif ialah banyak syarikat sedang berlumba untuk mencipta vaksin atau menguji rawatan. Ada vaksin sudah mula diuji cuma ia mungkin perlukan masa setahun atau lebih untuk ditawarkan ke pasaran.

Manakala segala bentuk sekatan, walaupun sudah agak terlewat bagi sesetengah negara barat, akan membantu mengekang penyebaran virus di peringkat global.

Jadi walaupun situasi mungkin lebih teruk daripada dijangka pada 2020, pada 2021 segala kekecohan mungkin sudah reda.

Nota:

  1.  Bukan semua syarikat boleh survive krisis. Jika melabur, pastikan balance sheet atau lembaran imbangan syarikat kukuh.
  2. Tun Dr Mahathir kata krisis semasa lebih teruk daripada 1997. Saya setuju. Tetapi semua krisis akan berakhir jua akhirnya.

_______________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *