Pertimbangkan Keputusan Tangguhkan Ansuran Pembiayaan Dengan Teliti

Minggu lepas BNM telah mengumumkan penangguhan ansuran pinjaman/pembiayaan selama 6 bulan. Langkah ini memang bagus tetapi kita perlu maklum tentang beberapa perkara untuk memastikan keputusan tepat dibuat untuk kewangan kita. Ini kerana kesan terhadap pembiayaan kereta umpamanya berbeza berbanding pembiayaan rumah.

Untuk sewa beli (pembiayaan kereta), tidak perlu berfikir panjang. Boleh terima sahaja penangguhan. Tangguh 6 bulan bayaran. Tambah balik bayaran 6 bulan.

Tiada faedah tambahan dikenakan. Tiada kos bagi anda. Lihat jawapan yang diberikan oleh BNM pada gambar pertama.

Tetapi yang perlu dipertimbangkan dengan teliti ialah pembiayaan lain, terutamanya pembiayaan rumah. Ramai orang ada pembiayaan rumah.

Lihat gambar kedua. Kadar faedah/untung tetap dikenakan atas prinsipal atau hutang pokok. Cuma dalam penerangan BNM, untung perbankan Islam tidak dikompaun, manakala bagi pinjaman konvensional faedah akan terkompaun (faedah atas faedah).

Tetapi beberapa bank juga telah mengumumkan faedah tidak akan dikompaun untuk pinjaman konvensional. Bagaimanapun itu perkara kecil sahaja

Yang penting ialah faedah tetap dikenakan atas prinsipal. Ini bermakna selepas enam bulan jumlah yang anda hutang adalah lebih tinggi.

Saya beri contoh. Katakan baki (outstanding principal) hutang saya RM300,000. Pada kadar keuntungan 3.85% (kadar untuk pembiayaan saya di Maybank). Pada akhir enam bulan, hutang saya akan bertambah RM5,775. Jumlah hutang sekarang ialah RM305,775.

(Nota: Menurut penerangan, untuk pembiayaan Islam, RM5,775 tidak dipermodalkan dan tidak dikompaun)

Masa yang saya perlukan untuk bayar balik jumlah hutang lebih besar ini sudah tentulah lebih lama jika membayar dengan jumlah ansuran yang sama.

Kalau nak kekalkan tempoh yang sama, perlu tambah ansuran. Cuba lihat penerangan BNM dalam warna kuning pada gambar kedua.

Kembali kepada contoh hutang saya tadi. Ansuran yang saya bayar ialah RM1,983. Jadi saya perlukan empat hingga enam bulan lebih lama untuk bayar balik hutang.

(Bergantung kepada cara Bank lunaskan untung untuk pembiayaan Islam. Untuk pinjaman konvensional enam bulan berasaskan contoh khusus ini)

Sebelum ini perlukan lebih kurang 208 bulan lagi, sekarang sudah jadi 212 bulan atau lebih (anggaran).

Ini bermakna selepas tangguh enam bulan. Saya perlu tambah balik enam bulan dan campur lagi 4 – 6 bulan. Jika saya nak juga bayar balik dalam tempoh masa yang sama (iaitu tambah balik 6 bulan sahaja), penerangan BNM mengatakan boleh runding dengan bank untuk tingkatkan ansuran bulanan.

Berapa kesan dan kosnya ke atas pinjaman anda bergantung kepada kadar pembiayaan, bila anda mengambil pinjaman, ansuran yang anda bayar dan sebagainya. Setiap kes adalah berbeza.

Tetapi lebih baru pinjaman anda, lebih tinggi kesannya, kerana bagi pinjaman yang baru diambil, jumlah yang dibayar untuk faedah/untung adalah lebih tinggi.

Jadi pertimbangkan keputusan anda dengan teliti. Jika anda perlukan wang, tangguhkanlah ansuran pinjaman perumahan anda. Tetapi jika gaji anda masih jalan dan tiada keperluan, teruskanlah bayar.

Nota: Satu sahaja saya tidak setuju dengan langkah positif daripada BNM ini. Sepatutnya bagi sewa beli (Hire Purchase), penangguhan memang harus diberikan secara automatik. Tetapi bagi pinjaman perumahan contohnya, ia sepatutnya atas dasar opt in, iaitu tidak ditangguhkan secara automatik melainkan itu pilihan pelanggan.

_______________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *