Rangsangan Ekonomi: Adakah Cukup Besar?

Semalam tiga orang pakar ekonomi telah mengkritik langkah fiskal terbaru yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana tidak cukup agresif dan besar.

Saya setuju dengan apa yang mereka sarankan, cuma saya berpendapat mungkin perlu menunggu data tambahan sebelum bertindak seperti yang mereka mahu.

Menurut mereka, keutamaan peruntukan dana perlu disalurkan untuk usaha menentang Covid-19, dan rangsangan ekonomi adalah keutamaan kedua. Memang tepat sekali.

Penularan virus mengancam nyawa, jadi ini perlu ditekankan dulu. Jika virus terus mengganas, mungkin tiada ekonomi lagi untuk dirangsang.

Menurut pakar-pakar tersebut, kita tidak patut bimbang tentang defisit, mencapai belanjawan seimbang dan pertambahan hutang. Ini situasi cemas dan kita perlukan rangsangan fiskal besar dengan segera.

Memang betul tetapi langkah awal yang sudah diumumkan akan menampung rakyat buat sementara waktu dan rangsangan boleh dipertingkatkan apabila data suku pertama sudah lebih jelas untuk melihat sektor mana ekonomi yang paling memerlukan.

Kita memang patut bersiap-sedia dengan bazooka fiskal dan mesin mencetak wang. Tetapi bagi saya ada baiknya kita tunggu seketika dulu.

Kita tidak mahu menghabiskan semua peluru yang ada di peringkat awal tanpa data yang lebih jelas.

Lagipun Perdana Menteri ada menyatakan pakej rangsangan lanjut akan diumumkan pada akhir bulan.

Kita akan mengambil tindakan yang mungkin melemahkan kekuatan fiskal dan kewangan negara, jadi perlukan maklumat berasaskan data.

Mungkin lebih baik jika rangsangan besar-besaran ini boleh dimulakan apabila situasi virus sudah mencapai puncak dan kes mula turun, yang diramalkan oleh beberapa pihak dalam seminggu dua lagi.

Pada waktu itu, situasi penularan Covid-19 akan lebih jelas dan kita boleh mengambil tindakan lebih jitu berasaskan data yang akan menunjukkan di mana wang tersebut perlu dibelanjakan atau disalurkan.

Selepas itu, barulah kita buat keputusan sama ada untuk meminjam daripada pertumbuhan masa depan kita dan mengeluarkan segala senjata fiskal yang ada demi survival rakyat pada masa kini.

_______________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *