Prof Dr Mohd Nazari Unjur Elakkan Hutang, Hidup Sederhana Pasca Covid-19

Beberapa hari lepas, Prof Dr Mohd Nazari Ismail, dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan, UM telah menulis artikel di Astro Awani tentang Covid-19, kemelut ekonomi dan hutang.

Perkara paling penting yang ditekankan beliau ialah bagaimana sistem ekonomi berpaksikan hutang (Riba) telah melipatgandakan kesan negatif ekonomi daripada wabak. Baik terhadap syarikat korporat, individu mahupun kerajaan.

Sebanyak 71.4 peratus rakyat Malaysia yang bekerja sendiri mempunyai simpanan tak sampai 4 minggu, malah 43% mempunyai simpanan yang bertahan hanya 2 minggu. Sedangkan tahap hutang mereka tinggi.

Masalah timbul terutamanya daripada sikap suka berbelanja di luar kemampuan, yang dipermudahkan oleh industri hutang.

Dan apabila kerajaan membantu rakyat, dari mana agaknya wang ini diperolehi? Tentulah sebahagian dana diperolehi dengan menambah hutang dan defisit. Hutang kita sekarang RM1 trillion. Ini sebelum krisis Covid-19 lagi.

Menurutnya jalan penyelesaian yang diunjurkan adalah jauh daripada sistem Islam. Adalah menjadi tanggungjawab gerakan Islam untuk merombak sistem kepada sistem baharu di mana kerajaan dan rakyat bebas daripada sistem hutang.

Perbelanjaan dalam ekonomi bukan sahaja sepatutnya bersifat rangsangan semata-mata tetapi berasaskan panduan “Maqasid Syariah’. Kita juga perlu menghidupkan sistem Waqf. Malah nilai-nilai masyarakat juga perlu diubah agar bersifat lebih sederhana, ujar beliau.

Sedikit Latar Belakang

Saya pernah menuntut ilmu dengan Prof Dr Mohd Nazari dua kali, pertama semasa di UM pada tahun 1990an dan juga semasa mengambil Masters di UIA.

Jelas bahawa walaupun tidak disebut dengan nyata, penyelesaian yang beliau maksudkan bukanlah perbankan Islam dalam bentuknya sekarang.

Saya pernah mendengar pandangannya semasa di UIA, dan berpendapat ia merupakan outlier, iaitu berada jauh di hujung graf. Lagipun pada waktu itu saya teruja dengan pelbagai penyelesaian ‘Perbankan Islam’ yang sedang dibangunkan dan hangat dibincangkan di universiti.

Tetapi secara beransur-ansur, dengan bacaan dan pertimbangan tambahan, pandangan saya pun berubah lebih cenderung kepada apa yang diperkatakan oleh Prof Dr Mohd Nazari.

Saya ingat lagi bahawa  beliau membeli rumah di sebuah kawasan kurang glamour jauh sikit dari KL dan membawa kereta yang kurang baharu sejajar dengan pandangannya tentang hutang.

Secara pun beransur-ansur saya pun melakukan proses ‘nyahhutang’. Sekarang yang tinggal hanya hutang rumah, dan itu pun saya sedang mencari jalan melenyapkannya secepat mungkin.

Pandangan Prof Dr Mohd Nazari, masih lagi pendapat yang bukan mainstream. Dan saya tidak fikir ia akan menjadi popular dengan pantas, walaupun dengan kemelut besar Covid-19.

Cuma saya harap semakin ramai orang dalam masyarakat, gerakan Islam dan mungkin juga ahli perbankan, selepas membuat pertimbangan wajar, akan mula cenderung kepada worldview ini, sama seperti bagaimana saya sendiri telah bertukar fikiran.

Prof Dr Mohd Nazari ada menulis buku bertajuk Membujur Lalu Berhutang Parah: Kesan Industri Hutang Terhadap Masyarakat Dunia. Boleh dapatkan maklumat lanjut di sini.

Anda boleh membaca artikel penuh beliau di sini.

_________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *