Berhati-Hati Pilih Saham: Contoh AirAsia X

Dalam suasana gawat seperti ini, memang ada saham bargain yang boleh dipilih (terutamanya jika time horizon anda 3 tahun), TETAPI ada juga saham yang menghadapi risiko tinggi terhadap kelangsungan perniagaannya.

Cuba kita lihat contoh AirAsia X (bukan Air Asia). Harga sahamnya telah naik dengan ketara baru-baru ini.  Namun pelabur perlu berwaspada.

Berasaskan keputusan kewangan dua suku tahun terdahulu, iaitu 30 Sept 2019 dan 31 Dis 2019, syarikat mencatatkan kerugian. Ini sebelum timbul kebimbangan tentang Covid-19 dan pelaksanaan PKP.

Nilai aset bersih saham ini hanyalah 5 sen sesaham. Nilai aset makin menyusut sebab kerugian terkumpul selama ini. Jadi AirAsia X (AAX) memasuki krisis ini dalam keadaan yang lemah.

Kerugian buat satu atau dua lagi suku tahun, yang kemungkinan besar akan berlaku, akan melenyapkan modal.

Modal kerja atau net current asset syarikat adalah negatif. Pinjaman jangka pendek jauh lebih tinggi dari pegangan tunai.  Cuma yang positifnya ialah pada tahun 2019, aliran tunai adalah positif.

Malangnya pada 2020, aliran tunai pasti terjejas teruk, terutamanya pada suku kedua 2020.

Dalam satu laporan pada 17 Feb, penganalisis pengangkutan CGS-CIMB Research Raymond Yap menganggarkan AAX perlu meraih modal baharu berjumlah RM1 bilion. Laporan ditulis berasaskan situasi sebelum Covid-19 menular ke seluruh dunia dan sebelum PKP lagi.

Perlu diingat, suntikan modal besar akan mencairkan pemilikan dan nilai pemegang saham sedia ada.

Mungkin ada faktor positif yang tidak saya ketahui, seperti pelabur besar yang sanggup membuat tawaran umum untuk saham AAX, atau faktor lain. Tetapi jika tiada perkembangan seperti ini, syarikat dan pemegang sahamnya akan menghadapi masalah besar.

Jika anda trader jangka pendek, tiada masalah sekiranya anda ada entry dan exit strategi yang baik dan berdisiplin. Tetapi anda perlu amat berwaspada jika merancang membeli untuk jangka pertengahan.

Nota:

  1. Kita tak boleh menyalahkan pengurusan syarikat bagi sebarang kesan kemelut Covid-19. Malangnya kelemahan telah timbul sebelum krisis ini lagi.
  2. SC telah menggantung buat sementara pengklasifikasian syarikat dalam kategori PN-17, ini bermakna tiada sekatan untuk melabur dalam syarikat yang baru mengalami modal bersih negatif (caveat emptor – pembeli harus berwaspada).
  3. Perniagaan seumpama kapal terbang, boleh terhempas jika mengalami stall. Persoalannya pada ketinggian mana stall ini berlaku. Saya rasa anda boleh buat telahan sendiri.
  4. Ini hanya satu contoh. Ada syarikat lain yang mungkin menghadapi risiko sama. Tak kira trader atau investor. Sekurang-kurangnya imbas kedudukan kewangan syarikat sebelum beli.

Sumber carta dan data: Laman Web Bursa Malaysia

_________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *