Mengkaji Pergerakan Pasaran Pada 2 Krisis Lepas Untuk Ramalkan Hala Tuju Saham Pada Krisis Semasa

Hari ini pasaran saham telah mencecah 1580 mata. Pendek kata pasaran saham mengandaikan bahawa krisis Covid-19 sudah berakhir kerana telah mengatasi paras indeks pada awal Februari dan hampir mencapai tahap pada awal tahun.

Yahoo Finance

Kenaikan ketara saham telah menimbulkan pelbagai persoalan. Dalam media seperti The Edge, ia digambarkan sebagai disconnect antara kenaikan dan realiti ekonomi di peringkat akar umbi. Tetapi ada juga pendapat yang berbeza.

Ada dua pandangan bertentangan tentang hala tuju pasaran untuk tempoh yang mendatang:

  1. Realiti ekonomi akan menarik balik pasaran ke paras sebenar
  2. Pasaran saham mencerminkan pemulihan yang akan berlaku pada masa depan dan memang patut naik.

Saya tak pasti pandangan mana yang lebih sahih, tetapi kita cuba tinjau pergerakan pasaran dalam dua krisis lepas, iaitu krisis subprima AS 2008 dan krisis kewangan Asia pada 1997/1998.

tradingeconomics.com

Pada krisis kewangan Asia 1997/1998, pasaran telah jatuh dengan ketara, naik kembali buat tempoh 5 bulan (tanda merah paling kiri) dan kemudian jatuh ke paras terendah, naik kembali ke angka 1000 mata (tanda merah ketiga) dan kemudian jatuh kembali kepada lebih kurang 600 mata, sebelum pulih secara beransur-ansur.

Pada krisis subprima AS pula (tanda kuning), pasaran telah jatuh dengan ketara (hampir 50%) dan kemudian terus naik kembali walaupun terdapat volatility semasa ia meningkat.

Persoalannya adakah tingkah laku pasaran dalam krisis ini akan mencerminkan krisis kewangan Asia 1998 atau lebih mirip krisis subprima AS 2008 atau berbeza sama sekali?

Kejatuhan pasaran tidak mungkin seteruk krisis kewangan Asia 97/98, kerana dasar yang dilaksanakan pada awal krisis tersebut adalah tersilap.

Kerajaan Malaysia  telah melaksanakan penghematan dan kenaikan kadar faedah (seperti disyorkan IMF). Ini telah menyebabkan kejatuhan ketara pasaran. Bila faedah mula diturunkan barulah pemulihan mula berlaku.

Manakala dalam krisis subprima AS 2008, walaupun pemulihan berbentuk V berlaku, kejatuhan pasaran agak ketara.

Apa yang membezakan krisis kali ini ialah tindakan BNM dan kerajaan. Pada krisis ini langkah rangsangan besar-besaran telah dilaksanakan.

Memang ada kosnya pada masa depan. tetapi buat masa ini, ia memberikan rangsangan besar kepada pasaran, terutamanya dengan kos pembiayaan saham yang rendah.

Pasaran di Amerika pun begitu, dengan indeks Nasdaq dan S&P telah naik ke paras tertinggi buat tahun ini, seolah-olah krisis ini tidak wujud atau telah berlalu dengan sekelip mata.

Jangan ingat pasaran tak boleh naik lagi, selagi ada rangsangan dan kadar pembiayaan rendah, pasaran boleh naik lagi.

Pelopor ekonomi tersohor, John Maynard Keynes pernah berkata, ‘Markets can stay irrational longer than you can stay solvent’.

Diterjemahkan secara kasar, jangan melabur dalam jangka pendek berasaskan andaian penilaian pasaran akan kembali rasional, anda boleh rugi besar akibatnya.

Pandangan peribadi saya ialah walaupun krisis ini sama atau lebih teruk daripada krisis kewangan Asia 1997/98 tak mungkin pasaran akan runtuh atau jatuh kembali dengan terlalu ketara kerana sokongan luar biasa yang diberikan oleh kerajaan dan bank-bank pusat.

Tetapi saya rasa akan ada satu lagi pusingan volatility atau ketidakstabilan berlaku pada tahun ini, terutamanya apabila keputusan suku pertama kebanyakan syarikat diumumkan pada akhir bulan Jun (diberi penangguhan selama sebulan).

Pada waktu itu barulah realiti ekonomi semasa mungkin disedari. Pemulihan sebenar ekonomi dijangka akan mula dicapai secara beransur-ansur pada suku terakhir tahun ini dan juga tahun hadapan.

_________________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *