Harga Emas Dalam USD Hampir Di Paras Tertinggi Dalam Sejarah

Pada bulan September 2019, saya ada menulis artikel tentang kesesuaian menambah emas dalam portfolio sebagai lindung nilai. Sebabnya ialah pada waktu itu, Rizab Persekutuan AS telah kembali melonggarkan dasar wang dan menurunkan kadar, dan kerana beberapa faktor makro lain.

Pada hari ini, emas dalam USD telah hampir mencecah tahap tertinggi, manakala harga emas dalam RM telah mencapai dan mengatasi paras rekod sejak tahun lepas lagi.

Anda boleh lihat carta emas dan pulangan pelaburan emas dalam mata wang USD dan RM untuk tempoh-tempoh berbeza di bawah.

Ramai orang menganggap emas boleh menjadi pelindung nilai daripada inflasi. Tetapi inflasi pada waktu ini amat rendah dan sudah sekian lama agak rendah.

Jadi apa yang menyebabkan harga emas naik? Bukankah emas ialah aset yang tidak menghasilkan apa-apa pendapatan dan tidak menjana nilai ekonomi jika disimpan dalam peti besi?

Pada pendapat saya harga emas naik sejak 20 tahun lepas kerana penyusutan nilai sebenar mata wang kertas. Apabila berlaku masalah ekonomi, Bank-Bank Pusat Dunia cenderung untuk menambah bekalan wang dalam sistem.

Walaupun pertambahan bekalan wang tidak diterjemahkan menjadi inflasi apabila kemelesetan ekonomi berlaku, nilai wang kertas tetap menyusut berbanding emas bila bekalannya ditambah.

Emas sudah sekian lama dianggap sebagai monetary metal dan penyimpan nilai sebenar.

Tidak kira apa pandangan anda tentang emas, hakikatnya ialah pulangan yang diberikan oleh emas jauh lebih tinggi daripada indeks saham di Bursa Malaysia dalam tempoh 20 tahun lepas.

Sama ada kenaikan akan diteruskan pada masa depan bergantung kepada dasar wang bank-bank pusat.

Secara peribadi saya bukan peminat tegar emas, tetapi berpendapat ada masa untuk emas dan ada masa untuk aset lain.

Jadi bila masanya untuk mempertimbangkan untuk menjual pegangan emas?  Mungkin apabila:

  1. Dasar wang longgar dihentikan, mula diperketatkan atau kadar faedah mula dinaikkan
  2. Apabila ramai orang dah mula kembali bercakap tentang kehebatan emas sebagai pelaburan
  3. Skim-skim pelaburan emas yang meragukan mula muncul semula

Setakat ini dalam tempoh terdekat belum nampak tanda-tandanya lagi.

Nota:

  1. Berbeza daripada artikel bulan September, artikel ini bukan cadangan menambah emas dalam portfolio kerana saya tak berapa pasti hala tujunya dalam tempoh mendatang kerana harga pun sudah naik dengan ketara.
  2. Penulis mungkin memegang pelaburan yang dibincangkan dalam artikel

 

__________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *