Tanda Pemulihan Ekonomi Mula Dilihat Tetapi Risiko Masih Tinggi

Pada setiap hujung minggu bulan Julai, saya sempat meninjau keadaan di beberapa tempat termasuk tempat tumpuan ramai dan pusat perniagaan di Muar, Pantai Remis (Selangor), KL dan PJ. Rata-rata perniagaan sudah mula rancak kembali, walaupun masih agak jauh daripada sebelum Covid-19.

Data ekonomi terbaharu Malaysia juga menunjukkan tanda-tanda kecil pemulihan. Berikut adalah data terkini yang diperolehi daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Semua carta yang dipaparkan adalah terbitan Jabatan Perangkaan.

Kadar pengangguran pada bulan Mei telah meningkat sedikit kepada 5.3%.  Ini menunjukkan kestabilan berbanding kenaikan ketara pada bulan April. Selagi tiada ledakan kes Covid-19 baharu, diharapkan angka ini tidak mencecah 6%.

Sementara itu, Indeks Harga Pengguna pada bulan Mei 2020 ialah -1.9%, tetapi indeks teras yang mengecualikan bahan volatile seperti harga bahan api masih positif.

Seperti yang saya katakan pada bulan lepas kadar yang negatif juga kurang baik bagi ekonomi tetapi angka Jun tidak seteruk bulan Mei.

Berita ekonomi paling positif ialah Imbangan Perdagangan Malaysia yang telah mencecah tahap rekod berjumlah RM20.9 bilion. Angka tertinggi ini dicapai kerana peningkatan eksport dan pengurangan import.

 

Seterusnya ialah Indeks Pengeluaran Perindustrian atau Industrial Production Index (IPI). Indeks telah telah mencapai tahap terendah pada bulan April, tetapi melantun kembali sebanyak 18.2% pada bulan Mei 2020 berbanding April 2020, walaupun ia masih -22.1% di bawah paras Mei 2019.

 

Akhir sekali ialah ukuran leading indicator atau indeks pelopor yang bertujuan memberikan petunjuk awal tentang hala tuju dan turning points ekonomi Malaysia.  Indeks ini sudah kembali positif pada bulan Mei, iaitu sebanyak 0.6%, selepas mencatatkan angka negatif pada bulan Mac dan April.

Kita dapat melihat pemulihan ekonomi sudah mula berputik tetapi masih jauh daripada paras pra-Covid-19.  Banyak cabaran dan risiko yang mungkin dihadapi, termasuk risiko gelombang ketiga virus di Malaysia.

Sekiranya tiada penularan yang terlalu serius, kita mampu mencatatkan pemulihan ekonomi lebih kukuh pada suku keempat tahun ini.

Pengawalan virus amat penting, kerana negara serta perniagaan dan rakyatnya tidak mampu menanggung satu lagi lockdown yang melibatkan seluruh negara.

 

________________________________

Tiga E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

Unit Amanah

Membina Aset Kejayaan

 

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *