Mengapa Kita Tak Boleh Lockdown Seluruh Negara Seperti Awal Tahun

Menurut satu artikel di The Edge baru-baru ini, seramai 500,000 orang telah memohon bantuan pembayaran balik pinjaman bersasar selepas moratorium berakhir dan 98% telah diluluskan.

Angka tersebut lebih rendah daripada yang dijangka tetapi masih amat tinggi dan menunjukkan berapa ramai orang yang menghadapi masalah kewangan akibat krisis Covid-19.

Ini merupakan satu daripada beberapa sebab negara tidak boleh melaksanakan PKPB di seluruh negara. Lockdown bukan sahaja akan mencampakkan kumpulan ini di bawah bas (meminjam ungkapan Inggeris) tetapi akan meletakkan ramai lagi orang lain di tengah-tengah laluan bas pada masa depan.

Daripada jumlah tersebut, ada dalam industri tertentu seperti penerbangan dan pelancongan yang tetap akan menghadapi masalah sama ada lockdown pada bulan Mac dilaksanakan atau tidak kerana industri mereka memang terpaksa ditutup.

Tetapi ramai daripada yang kehilangan kerja atau mengalami penyusutan pendapatan adalah kesan langsung daripada penutupan perniagaan yang boleh dielakkan jika PKPB yang amat ketat tidak dilaksanakan.

Malah, angka di atas tidak mengambil kira golongan lain yang masih boleh melunaskan pinjaman tetapi kini mempunyai pendapatan lebih rendah, dan mereka yang kehilangan punca pendapatan tetapi tiada hutang.

Berasaskan perbualan saya dengan beberapa pihak, rata-rata mereka tidak menyokong PKPB di seluruh negara, kecuali yang berkhidmat dengan kerajaan yang selamat punca pendapatan mereka.

Sikap terhadap lockdown dicerminkan dengan jelas dalam cerita berikut yang saya baca di CNN.

Ada sepasang suami isteri di Amerika yang pada peringkat awal lockdown di sana menyatakan bahawa mereka menyokong sekatan tersebut dan semua orang patut mematuhinya. Malah mereka langsung tak faham mengapa ada sesetengah pihak menentangnya dengan keras.

Kedua-dua mereka telah diminta bekerja dari rumah oleh syarikat dan gaji masih masuk. Tetapi tidak lama selepas itu, kedua-dua diberhentikan kerja kerana syarikat mereka terjejas teruk.

Secara tiba-tiba, pandangan mereka tentang lockdown telah berubah sama sekali dan pada masa itu, mereka kata ekonomi harus dibuka semula dengan serta-merta.

Ketiadaan pendapatan dan ancaman kehilangan rumah kediaman boleh mengubah sama sekali pendirian kita.

Usaha menyekat penularan virus telah mencetus kemelesetan ketara bagi Malaysia, antara yang paling teruk di rantau inipada suku kedua 2020 , yang menimbulkan pelbagai masalah bagi perniagaan dan penduduknya. Kesannya sedang dilihat sekarang dan akan terus dilihat sehingga tahun depan.

Berita baiknya ialah data ekonomi sejak Jun menunjukkan pemulihan sedang berlaku. Namun, satu lagi PKPB di seluruh negara boleh menimbulkan setback yang agak teruk.

Inilah dilema yang hadapi oleh kerajaan dan negara. Trade-off yang amat perit antara lives dan livelihood.

Apa pun, kita patut mematuhi segala langkah keselamatan dan perlindungan dan SOP yang ditetapkan supaya boleh mengawal penularan virus tanpa perlu melaksanakan PKPB di seluruh negara.

___________________

Online Course dan E-book Razali Razman. Klik untuk maklumat lanjut:

 

 

 

 

 

Unit Amanah

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Membina Aset Kejayaan

Author: Razali Razman

Razali Razman ialah penulis kewangan, pelabur dan pengasas Rencana Ringgit. Beliau pernah menulis tiga buku dan tiga ebook termasuk 51 Petua Pelaburan Unit Amanah dan Membina Aset Kejayaan, Mencapai Kebebasan Kewangan. Kelayakan: MBA Kewangan (IIUM), Perancang Kewangan Islam (IFP) dan Sarjana Muda Perakaunan (UM). Klik di bawah untuk follow di Facebook.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *